Penjelajah Negara Anak FELDA Chiku 2 Cipta Rekod Dunia, Harumkan Nama Negara

KUALA LUMPUR – Penjelajah Negara kelahiran FELDA Chiku 2, ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah berjaya melengkapkan misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015, dalam tempoh 37 hari 4 jam apabila berjaya sampai ke mercu tanda yang menjadi titik pusat Kutub Selatan pada pukul 4.30 pagi Sabtu waktu Malaysia (5.30 petang Jumaat waktu Kutub Selatan).

Shahrom menamatkan misi itu dengan berski dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 890 kilometer.

Menurut Penasihat Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, Shahrom bukan sahaja berjaya menamatkan misi itu, malah melakukannya dalam tempoh masa yang lebih singkat berbanding jangkaan awal selama 50 hingga 60 hari.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Shahrom telah berjaya menamatkan misi merentas Kutub Selatan itu dan sekaligus membuktikan bahawa sesungguhnya anak Malaysia mampu melakukan apa sahaja cabaran. Kejayaan Shahrom itu juga menandakan satu lagi pencapaian bertaraf dunia yang berjaya dicatat oleh rakyat Malaysia”, kata Akmar Hisham dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Tambah Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri dan Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia KE7B, kejayaan dan pencapaian Shahrom wajar menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana Shahrom menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh hampir seribu kilometer dengan menggunakan ski.

”Saya juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri pagi tadi mengenai kejayaan ini kerana beliau sangat mengambil berat mengenai perjalanan ekspedisi serta keselamatan Shahrom. Beliau tahu bagaimana kesukaran melakukan ekspedisi di sana kerana pernah menjejakkan kaki di Antartika. Beliau merasa sangat gembira mendengar berita kejayaan ini,” ujar beliau.

ke7b shahrom
Shahrom bersalaman dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Muqharobbin (kanan). Gambar dirakam sebelum memulakan ekspedisi menjelajah kutub selatan.

Sementara itu Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, melahirkan rasa bersyukur kerana satu lagi kejayaan dilakar oleh KE7B selaku pengelola misi ekspedisi itu.

“Alhamdulillah syukur saya ke hadrat Ilahi kerana satu lagi kejayaan dicapai oleh kelab kecil yang saya kendalikan ini bersama rakan-rakan yang meminati aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung dan lain-lain ekspedisi ekstrim. Kami di dalam KE7B sekadar memainkan peranan untuk melahirkan lebih ramai ikon-ikon untuk negara dan juga mencipta sesuatu yang baru untuk rakyat Malaysia banggakan diperingkat antarabangsa,” ujar Qobin.

KE7B sebelum ini telah melahirkan 24 ikon negara iaitu seorang pendaki 7 benua, 7 perenang Selat Inggeris, 7 pendaki Everest, 8 penjelajah Greenland dan seorang Penjalajah Kutub Selatan.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Shahrom di atas kejayaan cemerlang beliau menamatkan misi merentas benua ais paling sejuk di dunia itu tanpa sebarang masalah,” katanya.

Jelas Qobin, pihaknya akan membuat persiapan untuk menyambut kepulangan Shahrom ke tanahair selepas mendapat pengesahan tarikh penerbangannya pulang dari Buenos Aires.

“Saya akan berhubung dengan Shahrom selepas beliau keluar dari Kutub Selatan dan kembali ke Union Glacier dan selepas itu barulah saya akan mendapat gambaran jelas mengenai jadual penerbangan balik beliau ke Malaysia,” jelasnya.

shahrom
Shahrom Abdullah (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan yang lain sebaik tiba di mercu tanda Kutub Selatan yang menjadi garisan penamat ekspedisi beliau.

Shahrom mencipta satu lagi rekod baru anak Malaysia dipersada antarabangsa sebagai rakyat Malaysia pertama merentas benua Antartika dengan berski sejauh hampir seribu kilometer.

Shahrom, 36, anak jati Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan, merupakan atlet sukan lasak duathlon dan triathlon negara.

Shahrom memulakan ekspedisinya pada 9 Disember 2015.

Misi beliau sepatutnya bermula lebih awal namun tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.

Misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada awal bulan Julai 2015.

Dalam misi ekspedisi itu, Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang akan membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan untuk diminum sebagai air hidrogen beralkali khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu.

Shahrom dijangka tiba ke tanahair pada Jumaat depan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.