3,431 Peneroka Felda Di Segamat Terima Hak Milik Tanah

SEGAMAT – Seramai 3,431 daripada 4,161 peneroka Tanah Rancangan Felda di daerah ini telah pun menerima hak milik tanah pertanian masing-masing setakat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hanya tinggal 430 peneroka sahaja lagi yang masih dalam proses permohonan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu peneroka meningkatkan taraf kehidupan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan hak milik tersebut kepada peneroka Felda Palong Timur 01, 02 dan 03 di Dewan Perdana Putra, Felda Palong Timur 01, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 803 peneroka menerima hak milik tanah mereka untuk tujuan tapak perumahan dan 926 orang lagi untuk pertanian.

Turut hadir Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga anggota Parlimen Segamat.

Sementara itu, isteri kepada seorang daripada peneroka yang ditemui, Norlela Luzir, 54, berkata kerajaan telah memberikan hak milik tanah lebih daripada 4 hektar kepada keluarganya bagi tujuan pertanian dan tapak perumahan.

Katanya dia dan suami, Misdan Suja, 71, meneroka tanah tersebut sejak tahun 1988 dan kini, suaminya sudah tidak lagi mampu bertutur akibat diserang penyakit strok tahun lepas.

“Sejak mendapat berita (penyerahan hak milik tanah) ini empat hari lepas, dia (suami) asyik bertanya kepada mak cik, bila tarikh penyerahan?

“Mak cik jawab tidak lama lagi dan dia tersenyum gembira,” katanya yang menjadi antara peneroka terawal di Felda Palong Timur 01.

Kegembiraan sama turut dirasai Sahiw Anuwar, 59, yang bercadang untuk mengusahakan tanah pertanian seluas empat hektar yang diperolehinya dengan tanaman kelapa sawit.

“Alhamduillah dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang bersungguh-sungguh membantu rakyat, lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.