Inisiatif ‘Time Together’ Di Puteri Habour Galak Ikatan Kekeluargaan

JOHOR BAHARU – Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd melancarkan inisiatif baharu ‘Time Together’ yang membantu menggalakkan ikatan keluarga di Puteri Harbour.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin berkata inisiatif itu merupakan satu daripada cara untuk merapatkan hubungan keluarga semasa percutian dengan menjalankan aktiviti bersama.

“Inisiatif ini boleh membantu menangani masalah yang dihadapi keluarga dalam era digital yang pantas berkembang ini.

“Ia menyediakan destinasi yang dilengkapi dengan tempat makan pinggir pantai yang mewah dengan harga berpatutan, daya tarikan dan program yang boleh membina dan merapatkan hubungan menerusi masa berkualiti bersama,” katanya pada pelancaran inisiatif ‘Time Together’ di Nusajaya, di sini, hari ini.

Satu daripada inisiatif yang dirangka adalah kerjasama antara Hotel Jen Puteri Harbour dan Sanrio Hello Kitty Town untuk menyediakan bilik hotel bertemakan Hello Kitty yang direka bentuk eksklusif bagi keluarga dan peminat ikon yang disayangi itu yang akan dibuka kepada orang ramai lewat tahun ini.

“Saya percaya dengan formula yang betul untuk memasarkan destinasi itu, Puteri Harbour akan dikenal pasti sebagai satu lagi singgahan menarik di wilayah ini,” kata Burhanuddin.

Selain daripada itu, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour juga menyediakan perkhidmatan feri ke Tanjung Balai dan Batam, Indonesia. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.