Majlis Perundingan Melayu Sokong TPPA

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong usaha kerajaan memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia akan membolehkan Malaysia kekal relevan dalam landskap ekonomi global.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata badan itu berpendapat TPPA adalah instrumen penting dalam agenda pembangunan global pada masa akan datang.

“Malaysia harus bersaing dan menyertai mana-mana perjanjian perdagangan antarabangsa (yang menguntungkannya) sekiranya tidak mahu ketinggalan dalam aspek ekonomi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, penerokaan pasaran dengan anggaran 800 juta pengguna melibatkan 40 peratus daripada keluaran dunia (GDP) bakal memberi pulangan besar buat negara.

Dalam pada itu, Hasan berkata MPM berhasrat menubuhkan badan pengawasan ‘TPPA Watchdog Malaysia’ dan ‘TPPA Watchdog International’ dalam masa terdekat dengan penglibatan beberapa badan bukan kerajaan dan negara-negara anggota TPPA.

“Dan jika perlu, kita bercadang membentuk Indeks TPPA bagi menilai sejauh mana perjanjian itu dapat meningkatkan prestasi pelaksanaan perdagangan bebas,” katanya.

Satu persidangan khas selama tiga hari akan diadakan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Jan ini bagi membincangkan penyertaan Malaysia dalam TPPA. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.