Peralatan Canggih Untuk Pantau Keselamatan Di Pintu Masuk

PUTRAJAYA – Keselamatan di pintu masuk seperti lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan telah ditingkatkan menggunakan peralatan pemantauan lebih berkesan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman, kata Menteri Pengangkutran Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Langkah berjaga-jaga di pintu-pintu masuk utama diambil sejak tahun lepas,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kesedaran Moral di pejabatnya di sini hari ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) misalnya telah membaharui dan mengukuhkan peralatannya di lapangan terbang dengan kemampuan untuk memantau dan mengesan pengganas yang memasuki negara, kata beliau.

Lebih banyak peralatan pemantauan seperti televisyen litar tertutup (CCTV) dipasang dengan banyak kakitangan keselamatan dikerah untuk mengukuhkan keselamatan di pelabuhan dan stesen kereta api, katanya.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap serangan pengganas di Jakarta dan Turki, Liow berkata: “Ia isu yang serius dan kami perlu melaksanakan banyak langkah pencegahan. Saya berharap orang ramai bertenang dan menaruh keyakinan kepada pasukan keselamatan negara untuk melindungi dan mencegah kejadian yang tidak diingini di Malaysia.”

Sementara itu, Liow berkata kementeriannya akan mengkaji semula penggunaan lori hantu yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, khususnya di tapak pembinaan kerana didapati mereka turut menggunakan jalan awam.

Beliau berkata peraturan sekarang ialah lori hantu tidak dibenarkan berada di jalan awam kerana ia boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Kami akan mengkaji semula kedudukan lori hantu … kecuali anda berada jauh di dalam hutan (jika tidak) kamu (lori hantu) akan menggunakan jalan kerajaan dan ia akan menimbulkan bencana kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata beliau.

Minggu lepas, sebuah lori hantu merempuh 37 kenderaan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang dan menyebabkan dua pelajar terbunuh. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.