257 Peneroka FELDA Di Negeri Sembilan Terima Suratan Hak Milik Tanah

JEMPOL – Seramai 257 orang peneroka FELDA bertuah dari FELDA Palong 14, 15 dan 16 telah menerima suratan hak milik tanah dalam satu Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan bertempat di Dewan Serbaguna Semai Bakti Palong 14, semalam.

Kawasan FELDA di Negeri Sembilan adalah antara yang terbesar di Malaysia dan mempunyai 49 buah tanah rancangan FELDA dan ditadbir urus oleh Pejabat FELDA Wilayah Raja Alias

Sehingga kini keluasan kawasan FELDA di Negeri Sembilan adalah seluas 90,396 hektar, 10.6% berbanding jumlah keseluruhan 853,313 hektar yang menempatkan peneroka seramai 16,433 orang iaitu 14.59% daripada jumlah keseluruhan peneroka seluruh Malaysia berjumlah 112,635 orang.

Kejayaan FELDA dalam menyerahkan hak milik kepada warga peneroka adalah atas kerjasama dan sinergi padu daripada kerajaan negeri.

20160119_162702

Kerajaan Negeri Sembilan dibawah pimpinan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad tidak terkecuali dalam mencerminkan komitmen yang begitu tinggi dalam memudahkan proses penyerahan hak milik tanah peneroka di sini.

FELDA sentiasa memastikan kerjasama baik dengan kerajaan negeri dapat diteruskan demi manfaat semua warga peneroka FELDA.

83% peneroka FELDA sejumlah 13,644 orang daripada jumlah keseluruhan 16,433 peneroka di Negeri Sembilan telah menerima hak milik tanah.

Manakala peneroka FELDA yang telah menerima hak milik di seluruh negara adalah seramai 89,724 orang (79.65%) berbanding jumlah peneroka seluruh Malaysia 112,635 orang.

Terdapat 4,464 orang peneroka FELDA di Dewan Undangan Negeri Palong yang melibatkan 14 tanah rancangan, kesemuanya telah menerima hak milik dari Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk 257 orang peneroka di FELDA Palong 14, 15 dan 16 yang menerima hak milik semalam.

Kemasukan 257 orang peneroka yang telah menerima hak milik ini semalam di tanah rancangan Felda Palong 14, 15 dan 16 adalah bermula pada September 1989.

Peneroka FELDA yang telah menerima suratan hak milik ini adalah 101 orang dari FELDA Palong 14, 114 orang dari FELDA Palong 15 manakala 42 orang adalah dari FELDA Palong 16.

20160119_162253

Setelah hampir 27 tahun memerah keringat di tanah ladang mereka serta menikmati hasilnya, warga peneroka Palong 14, 15 dan 16 kini boleh berbangga dengan hak milik yang telah mereka terima.

Perit jerih dan segala suka duka akhirnya membolehkan mereka dengan sah menjadi pemilik tanah yang sekian lama diusahakan.

Tanah yang selama ini menjadi punca rezeki kepada isteri dan anak-anak serta hasil tanah ini jugalah yang memberikan pendidikan kepada anak-anak generasi baru FELDA sehingga kebanyakan daripada mereka ini berjaya di menara gading.

Jumlah keluasan ladang peneroka Palong 14, 15 dan 16 adalah seluas 1,041.553 hektar, kini sedang dalam projek tanam semula.

Turut hadir sama dalam Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik ini adalah Pengerusi FELDA, Tan Sri Hj Mohd Isa Dato’ Hj Abdul Samad; Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada; Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Anuar Malek; pemimpin setempat; pemimpin parti dan pemimpin-pemimpin FELDA Wilayah dan Rancangan.

20160119_163007Lain-lain gambar akan dimuatnaik di Galeri dan video temuramah bersama peneroka akan dimuatnaik di Channel Youtube FeldaVoice.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.