Harga Minyak Sawit Mentah Dijangka Kukuh Pada 2016 – MPOB

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) akan mengukuh pada 2016 dan pengeluaran meningkat sebanyak tujuh peratus.

Ketua Pengarah Datuk Dr Choo Yuen May berkata industri minyak sawit Malaysia diunjur menunjukkan prestasi yang lebih baik tahun ini dengan kerajaan mengambil langkah-langkah untuk menstabilkan harga minyak sawit dan meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia.

Pemulihan sederhana dalam ekonomi dunia dijangka pada separuh kedua 2016 juga akan meningkatkan keyakinan terhadap industri minyak sawit tempatan, katanya.

“Insentif skim penanaman semula dan program biodiesel yang dilaksanakan akan mengurangkan stok MSM dan mengukuhkan harga minyak sawit.

“Berikutan peningkatan kecil dalam kawasan matang tahun ini, pengeluaran MSM dijangka meningkat sedikit, sebanyak tujuh peratus kepada 20.10 juta tan pada 2016 berbanding 19.96 juta tan pada 2015,” katanya.

Fenomena El Nino juga kekal menjadi cabaran kepada penanam, katanya pada Seminar Prospek dan Kajian Ekonomi Minyak Sawit bertemakan ‘Minyak Sawit: Memaksimumkan Peluang Semasa Waktu Mencabar’ di sini hari ini.

Harga purata MSM pada 2015 ialah RM2,153.50 satu tan, turun sebanyak 9.6 peratus berbanding RM2,383.50 satu tan pada tahun sebelumnya, menurut rekod MPOB.

“Walaupun kelembapan ekonomi dunia, kami yakin industri minyak sawit Malaysia akan terus maju dan kekal berdaya saing dalam pasaran minyak dan lemak dunia.

“MPOB yakin dapat terus bekerjasama dengan kerajaan untuk masa depan yang lebih baik bagi industri kelapa sawit,” katanya kepada Bernama selepas seminar itu.

Kontrak niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives diniagakan bercampur-campur pada tengah hari hari ini dengan bulan semerta Februari 2016 menambah RM1 kepada RM2,352 satu tan, manakala Mac 2016 susut RM6 hingga RM2,410 setan metrik.

Di pasaran fizikal, Selatan Januari ditutup pada RM2,310 setan metrik semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.