Bauksit: Peneroka Tidak Berbincang Dengan FELDA Sebelum Aktiviti Perlombongan – Isa

JEMPOL – Sebahagian besar peneroka di Bukit Goh, Pahang tidak meminta pandangan daripada pihak Felda sebelum aktiviti perlombongan bauksit dijalankan di kawasan itu.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, hanya 97 daripada 227 peneroka di kawasan itu mendapatkan nasihat Felda manakala bakinya tidak berbuat demikian kerana status tanah yang sudah menjadi milik mereka.

“Sebahagian daripada mereka meneruskan perjanjian dengan pengusaha yang tidak memiliki permit dan enggan mendapatkan nasihat selanjutnya daripada Felda.

“Niat kita adalah menjaga kepentingan peneroka supaya tidak berlaku penipuan atau perkara yang boleh merugikan mereka,” katanya selepas majlis Penyerahan Surat Hak Milik Peneroka Felda Palong 14, 15 dan 16 di sini, Rabu.

Majlis penyerahan yang turut dihadiri Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pemberhentian kegiatan perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan sekali gus menyebabkan peneroka yang memajakkan tanah kepada pengusaha bauksit hilang sumber pendapatan.

Menurut Mohd. Isa, Felda akan cuba membantu dengan meneliti surat perjanjian yang telah ditandatangani peneroka terbabit dengan pengusaha bauksit sebelum tindakan lanjut diambil.

“Pada masa ini, kita mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan keputusan kerajaan menggantung aktiviti perlombongan itu selama tiga bulan. Selepas itu, kita akan lihat dari semua sudut termasuk aspek perundangan bagi membantu mereka,” katanya.

20160119_164806

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.