Keluarga Peneroka Rugi RM30,000 Disamun Enam Lelaki

MARAN – Satu keluarga peneroka di Felda Jengka 15, kerugian hampir RM30,000 apabila rumah mereka dimasuki enam perompak bertopeng yang bersenjatakan parang, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi ketika semua mangsa sedang tidur.

Enam perompak itu, lima daripadanya dipercayai warga asing, masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil tingkap bahagian dapur sebelum mengejutkan anak lelaki mangsa berusia 14 tahun yang tidur di bahagian ruang tamu.

“Suspek lalu mengarahkan mangsa mengejutkan ibu dan bapanya yang tidur dalam bilik sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga dengan mengacukan parang dan mengancam untuk mencederakan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mat Rizal menambah mangsa menyerahkan barang kemas iaitu gelang tangan, lima utas rantai, sebentuk loket, dua utas jam tangan, satu komputer riba dan lima telefon bimbit serta wang tunai RM7,000.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.