Permit Eksport Bauksit Untuk Habiskan Simpanan Stok Kini Dikeluarkan

KUCHING – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata kerajaan membenarkan Permit Kelulusan (AP) dikeluarkan bagi mengeksport bauksit.

“Saya sudah bercakap mengenai perkara ini dengan ketua setiausaha kementerian saya dan pihak lain supaya mempermudahkannya dengan secepat mungkin.

“Kami sudah sekat perlombongan bauksit. Tapi, kami perlu membenarkan hampir 70,000 tan simpanan stok bahan itu dieksport.

“Tempohnya ialah sebulan mulai sekarang,” kata beliau kepada media selepas menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM108,300 untuk pelbagai projek di kawasan parlimen Santubong yang diwakilinya di sini.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata beliau bersedia untuk bersikap fleksibel mengenai tempoh itu.

Sementara itu, Wan Junaidi mengingatkan pihak yang terlibat dengan kerja membersihkan kawasan dan jalan raya yang dikotori tumpahan bauksit supaya tidak membuangnya ke dalam sungai.

Sebahagian tanah bauksit yang dikumpulkan

“Ini boleh menyebabkan air kembali berwarna merah dan bertoksik,” katanya.

Menurut beliau, proses pembersihan yang sedang dilakukan itu dikendalikan Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Alam Flora.

Wan Junaidi berkata beliau juga meminta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Pelabuhan Kuantan membersihkan kawasannya dengan sewajarnya.

“Pelabuhan itu, yang dipercayai menjadi penyumbang utama air di laut dan sungai terjejas menjadi merah, tidak begitu mempedulikan nasihat saya sebelum ini.

“Sekiranya mereka memerlukan perkidmatan dua agensi kerajaan itu dan Alam Flora, mereka perlu menanggung kosnya,” kata beliau.

Beliau berkata Pelabuhan Kuantan juga perlu membersihkan empat tapak simpanan stok bahan itu yang terletak di kawasannya.

Wan Junaidi berharap pihak berkuasa pelabuhan itu menggunakan tongkang yang sewajarnya untuk mengangkut bahan berkenaan dari pelabuhan ke kapal yang berlabuh di tengah laut.

“Tongkang yang digunakan perlu mematuhi had muatan ditetapkan dan tidak memasang dinding kayu untuk membolehkannya membawa lebih banyak muatan,” katanya.

Wan Junaidi berkata sekiranya kerajaan negeri membenarkan perlombongan bauksit disambung semula pada masa akan datang, hanya satu kawasan simpanan stok berpusat perlu dibenarkan dan ia mestilah dilengkapi kemudahan penapisan dan pembersihan.

Menurut Wan Junaidi, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Felda kawasan Bukit Goh tentang sama ada perlombongan bauksit yang melibatkan tanah seluas lebih 200 hektar milik individu di situ, mematuhi undang-undang atau sebaliknya.

“Hakikatnya ialah …daripada 233 keluarga yang terlibat, hanya 62 daripada mereka mendapat kebenaran daripada Felda untuk mendapatkan lesen daripada kerajaan negeri.

“Saya juga ingin mengetahui tentang rancangan masa depan Felda mengenai penggunaan tanah di kawasan yang telah dilombong, sama ada ia tidak lagi sesuai untuk penanaman sawit,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.