Tiga Teramasuk Profesor USIM Terima Anugerah Maulidur Rasul Pahang

KUANTAN – Tiga termasuk Profesor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.

Dua lagi penerima ialah Abdul Hamid Busu, 53, Pengasas dan Pengetua Maahad Tahfiz Wa Ta’limil Quran di Jerantut dan pekerja swasta Shahrollail Basri, 43, yang aktif dalam kerja amal.

Dengan penganugerahan itu, kesemua mereka menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di sini, Khamis.

Hassan Basri, 54, anak jati Kerdau, Temerloh berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland melahirkan penghargaan kepada Sultan dan kepimpinan Pahang yang memilihnya, meskipun sumbangannya tidak begitu banyak.

“Saya cuma membantu dalam bidang pendidikan, seperti menjadi penasihat luar kepada Kolej Antarabangsa IKIP, membantu beberapa jabatan agama, dalam penerbitan buku teks dan latihan guru,” katanya ketika ditemui pemberita.

Hassan Basri juga menyifatkan sektor pendidikan di Pahang sebagai suatu yang unik, bukan sahaja disebabkan geografinya yang luas, malah terdapat banyak kawasan pedalaman dan Felda.

Katanya, ini menyebabkan lebih banyak gerak kerja diperlukan khusus untuk memartabatkan sistem pendidikan, termasuk dalam aliran agama, yang kini ditukarkan status sebagai sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Aliran sekolah agama mampu untuk melahirkan tokoh berjaya. Saya juga adalah produk sekolah agama kampung iaitu Sekolah Menengah Agama al-Khairiah Temerloh dan ramai lagi tokoh lain bermula dengan sekolah agama,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid merupakan pengasas Maahad Tahfiz Wa Ta’limil Quran di Jerantut, yang merupakan madrasah pertama di Pahang dan ketiga di Malaysia yang menggunakan sistem madrasah berasrama.

Abdul Hamid anak jati Kampung Kelola, Jerantut menubuhkan pusat tahfiz dengan mengambil 15 anak murid pada Ogos 1989, menerusi pengalamannya mengajar di selatan Thailand.

“Pusat tahfiz memang memerlukan sistem asrama kerana mudah untuk kita meninjau perkembangan mereka. Ibu bapa yang berniat mahu anak menjadi tahfiz perlu mendedahkan suasana ini seawal usia empat tahun, kerana mereka lebih mudah dibentuk,” katanya.

Abdul Hamid juga menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada semua pusat tahfiz di Malaysia termasuk kepada anak-anak yang senang berjuang untuk menghafal al-Quran.

Shahrollail pula dipilih kerana aktif menjalankan kerja amal termasuk memulakan projek pakaian dan makanan untuk masyarakat Orang Asli dan asnaf sejak enam tahun lalu.

Antara sumbangan anak kelahiran Raub itu ialah membina surau di perkampungan Orang Asli Pos Senderut di Lipis, membina pondok bas, menyumbang empat biji bot kepada mangsa banjir dan membantu golongan balu mendapatkan lesen memandu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.