300 Keluarga Di Parlimen Pasir Gudang Terima Bantuan Sempena Tahun Baru Cina

JOHOR BAHARU – Tiga ratus keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Pasir Gudang, di sini, menerima bantuan bersempena sambutan Tahun Baru Cina menerusi peruntukan berjumlah RM50,000.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan berbentuk wang tunai dan hamper makanan kepada keluarga yang sudah dikenal pasti itu diharap dapat meringankan beban mereka untuk menyambut perayaan.

“Menerusi program anjuran UMNO, MCA Pasir Gudang dengan kerjasama gabungan persatuan badan bukan kerajaan ini, kita dapat mengesan lebih jelas dan mendalam tentang isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan yang disertai Pengerusi MCA Pasir Gudang Tan Cher Puk, di Taman Rinting dan Taman Kota Puteri, Masai, di sini Ahad.

Mohamed Khaled berkata menerusi penyampaian itu juga pihaknya dapat mengetahui sejauh mana keberkesanan program bantuan kerajaan sama ada dari segi kebajikan mahupun yayasan, diterima atau tidak oleh masyarakat.

Beliau berkata program sedemikian akan dilakukan secara berterusan sebagai usaha memastikan tiada golongan yang tercicir dan tidak mendapat perhatian yang sepatutnya daripada kerajaan.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Yeak Fang, 56, dari Taman Rinting, di sini, berkata bantuan itu sekurang-kurangnya menampung keperluan keluarganya menyambut tahun baru lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang meningkat.

Yeak Fang yang memiliki lima anak berkata kehidupannya sedikit sukar selepas bercerai dan kini terpaksa menjaga anak perempuan sulungnya, Soh Kai Ling, 21, yang terlantar selepas mengalami kecederaan saraf akibat kemalangan, Oktober lepas.

“Saya sangat terharu dengan kesudian Menteri Besar mengunjungi rumah kami dan memberikan bantuan. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk menyambut kedatangan Tahun Monyet,” katanya.

Pemandu lori, Chie Ing Anak Deli, 52, yang menetap di Taman Kota Puteri, pula berkata bantuan itu dapat membantunya menyediakan keperluan keluarga terutama lapan anaknya yang berusia antara tiga bulan dan 19 tahun.

“Saya sudah menetap di bandar raya Johor Baharu sejak 20 tahun lalu sejak berhijrah dari Sri Aman, Sarawak. Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima hari ini dan amat berterima kasih kepada Menteri Besar yang sudi memberikan bantuan,” katanya yang berketurunan Cina dan Iban. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.