Bersabar Atas Cercaan Dan Hinaan, Selamat Hari Pembantu Perubatan 2016

Hari ini adalah 10 Mac. Hari ini adalah Hari Pembantu Pegawai Perubatan di Malaysia.

Bersempena dengan hari ini, izinkan saya mencoretkan serba sedikit penghargaan buat rakan-rakan sekerja dari kalangan MA.

Gambar dibawah saya jumpa di media sosial. Ini adalah petugas saya. Seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) atau nama lainnya adalah MA (Medical Assistant). Zaman dahulu jawatan ini dipanggil sebagai Dressar.

MA

Jawatan ini adalah salah satu jawatan penting didalam perkhidmatan kesihatan bersama para jururawat (nurse). Mereka adalah merupakan tulang dan sendi perkhidmatan kami.

Mereka bertungkus lumus bersama doktor untuk berkhidmat menyelamatkan pesakit, merawat dan memantau pesakit pada setiap masa.

Penat pekerjaan mereka bukan kepalang. Kadang kala terpaksa bekerja dua shif demi berkhidmat untuk negara.

Lihatlah gambar itu. MA saya mengangkat sendiri seorang nenek tua yang tidak bermaya turun tangga kerana nenek tersebut terlalu uzur dan rumah pangsa nenek tersebut tiada lif.

Senyuman tidak lekang dari mulutnya sungguhpun beban yang dipikul adalah berat. Begitulah pengorbanan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan tugas.

Kami mengenepikan rasa penat, perasaan geli, takut malah keluarga kami kadangkala berkecil hati kerana kami terpaksa meninggalkan mereka atas panggilan yang mendesak.

Betapa banyak kenduri kendara dan hari perayaan yang kami tidak dapat bersama kerana berkhidmat untuk anda dan negara.

Tapi gambar seperti ini tidak akan pernah viral!

Tiada penghargaan untuk senyuman ikhlas dan jerih payah perawat kesihatan kerana segelintir rakyat dari kalangan pembangkang mengatakan bahawa itu memang kerja mereka dan mereka dibayar gaji untuk merana.

Yang akan viral adalah penjawat awam sombong, tidak senyum dan berlagak tak ketahuan (semua persepsi) semasa mereka tiba untuk rawatan bagi kes bukan kecemasan di Jabatan Kecemasan pada jam 3 pagi ketika kami amat sibuk.

Wahai sahabat-sahabatku penjawat awam terutamanya warga KKM, bersabarlah atas cercaan dan penghinaan yang dilemparkan kepada kita.

‎Biarlah kita viral di langit‬ dan mewangi nama kita dipuji oleh Allah dan malaikat.

Kepada semua MA/PPP di Malaysia, saya mengucapkan SELAMAT HARI PEMBANTU PERUBATAN 2016!

dr rahman2
Oleh:
Dr Abdul Rahman Abdul Kadir
Pakar Kecemasan dan Trauma
Hospital Melaka

*FeldaVoice ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Pembantu Perubatan 2016 kepada semua Pembantu Pegawai Perubatan atau Medical Assistant di seluruh Malaysia!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.