El Nino: MARDI Tangguh Jadual Penanaman Padi

KEPALA BATAS – Jadual penanaman padi di kawasan Seberang Perai Utara untuk tahun ini akan ditangguhkan berikutan fenomena El Nino yang berlarutan dari awal tahun menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak dapat membekalkan air.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Seberang Perai Utara Azmi Abdul Razak berkata sawah-sawah yang diguna untuk penyelidikan dan tanaman padi telah kekeringan sejak awal bulan ini.

Beliau berkata proses penuaian padi dilakukan Januari lepas dan sepatutnya penanaman akan bermula akhir Mac atau awal April tetapi sehingga kini belum dapat dimulakan kerana tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.

“Kelewatan ini menyebabkan jadual penanaman padi terpaksa ditangguh sehingga mendapat bekalan air daripada JPS,” katanya kepada pemberita selepas lawatan exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat kira-kira 5,100 pesawah di Seberang Perai Utara dengan keluasan 850 hektar tanah dan MARDI mempunyai lebih kurang 80 hektar tanah yang dijadikan tapak pembenihan padi.

Azmi berkata terdapat dua Pusat MARDI di negara ini yang mengeluarkan benih padi kepada petani iaitu di Kepala Batas dan di Parit, Perak.

“Setiap tahun, MARDI Kepala Batas mengeluarkan lebih 80 tan benih padi asas dan kami yakin penangguhan penamanan padi akibat kekurangan air ini tidak akan menjejaskan pengeluaran padi atau pengeluaran benih padi,” katanya.

Menurut laporan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, fenomena El Nino yang melanda seluruh negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Jun.

Sementara itu, Dr Afif berkata penangguhan jadual penanaman padi itu dijangka berlarutan sehingga sebulan dan hujan diramal pada pertengahan bulan depan.

Beliau berkata bekalan air yang berkurangan di sungai menyebabkan rumah pam di Pinang Tunggal gagal menyedut air dan salur kepada MARDI.

“Bekalan air di sungai hanya setinggi 1.8 meter sedangkan rumah pam di Pinang Tunggal memerlukan ketinggian minimum air dua meter sebelum ia dapat disedut dan disalurkan,” katanya.

Selain mengharapkan hujan bulan depan, Dr Afif meminta bantuan daripada pihak berkuasa Empangan Beris, di Sik, Kedah supaya dapat melepaskan air untuk membantu paras air sungai di sekitar kawasan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.