Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, industri berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya dijalankan di negeri ini sebaliknya memerlukan perancangan yang boleh menjaga semua pihak.

“Buat masa ini, saya ingat kita tunggu laporan daripada pihak kerajaan kerana mereka yang buat kata putus, kalau difikirkan sambung moratorium, sambunglah dan difikirkan teruskan perlombongan bauksit, teruskanlah.

“Mungkin untuk jangka panjang, perlu ada satu had masa kalau benar kita hendak meneruskan industri ini,” titah baginda dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat di Istana Abdul Aziz, di sini hari ini.

Kerajaan Pusat sebelum ini mengeluarkan arahan moratorium selama tiga bulan terhadap semua aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini bermula 15 Januari lalu, antara lain bagi mencari kelemahan prosedur dalam pelaksanaan aktiviti tersebut sehingga mengakibatkan berlaku pencemaran yang serius.

Baru-baru ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak menolak kemungkinan tempoh moratorium aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini yang bakal tamat bulan depan akan dilanjutkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu bergantung kepada pematuhan kumpulan terlibat termasuklah pemain industri, pihak yang menyediakan kemudahan serta kerajaan negeri terhadap peraturan yang telah ditetapkan.

Mengulas mengenai perjalanan tempoh moratorium tersebut, Tengku Abdullah menyatakan, baginda tidak diberi maklumat secara terperinci, namun berdasarkan maklum balas diterima, pihak pengusaha bauksit menerima dengan baik arahan yang ditetapkan itu.

“Cuma saya dimaklumkan keadaan di Pelabuhan Kuantan masih belum selesai,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE