PTPTN Nafi Ambil Duit Pelajar Dalam TH – Pengerusi

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mempunyai kuasa untuk bertindak mengambil wang simpanan mahupun mengakses akaun peribadi individu termasuk di Tabung Haji (TH).

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata semua transaksi pengeluaran ataupun pindahan wang bagi mana-mana akaun tidak kira sama ada akaun bank atau TH adalah atas arahan dan pemegang akaun itu sendiri.

“Bayaran secara terus melalui simpanan dalam akaun TH juga bukanlah merupakan saluran bayaran balik yang telah disediakan oleh PTPTN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Shamsul mengulas mengenai seorang mahasiswi yang mendakwa duit sejumlah RM30,000 dalam akaun THnya hilang diambil PTPTN sebagaimana disebarkan di laman sosial.

Shamsul berkata sebaran tersebut merupakan satu fitnah dan khabar angin pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu PTPTN akan membuat laporan polis dan laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar isu ini dihentikan daripada terus disebarkan.

“Kita juga meminta supaya mahasiswi tersebut turut membuat laporan polis atas kehilangan wang di dalam TH untuk mengetahui punca sebenar,” katanya.

Shamsul berkata setakat ini saluran bayaran balik pinjaman ialah melalui kaunter PTPTN di seluruh negara, kaunter ejen (Bank Islam, CIMB Bank, BSN, Bank Rakyat dan Pos Malaysia), potongan gaji atau pengeluaran akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu peminjam juga boleh membuat bayaran secara online yang mana transaksi dilakukan oleh peminjam itu sendiri.

Dalam perkembangan lain Shamsul mengulangi pembiayaan PTPTN bukan pembiayaan berunsur riba sebagaimana diviral dalam laman sosial baru-baru ini.

Katanya PTPTN adalah pembiayaan pendidikan yang patuh syariah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Jun 2008.

“Ujrah atau upah satu peratus setahun atas kadar rata adalah amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan serta diperlukan bagi menampung kos operasi PTPTN termasuk kos pengurusan dan pentadbiran setiap akaun peminjam,” katanya.

Selain itu katanya peminjam juga tidak dikenakan sebarang kenaan ujrah atau upah sekiranya membuat bayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.