Presiden/CEO MSM Sheikh Awab Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSM Malaysia Holdings Bhd, Datuk Sheikh Awab Sheikh Abod, meninggal dunia pada usia 56 tahun di Hospital Pantai Kuala Lumpur, tengah hari ini.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya, menerajui syarikat pengeluar gula terbesar negara itu sejak 1 Jan, 2014.

“Barisan ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan MSM amat sedih di atas kematian Allahyarham Sheikh Awab dan memanjatkan salam takziah kepada keluarganya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

MSM turut menyuarakan penghargaan di atas sumbangan besar Allahyarham sepanjang tempoh perkhidmatannya di syarikat itu selama ini.

Allahyarham sebelum ini menduduki kerusi Pemangku CEO Malaysian International Merchant Bank dari 2003 hingga 2004, Presiden/CEO Affin Investment Bank dari 2005 hingga 2007 dan seterusnya menyandang jawatan Pengerusi PECD Bhd dari 2007 hingga 2010.

Sheikh Awab ketika ini turut berperanan sebagai Pengarah Percetakan Nasional Malaysia Bhd dan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburannya serta Pengerusi syarikat Axis Consultancy & Advisory Services.

Allahyarham turut menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat dalam Kumpulan Felda Global Ventures. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.