Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Bangga Menjadi Anak Peneroka FELDA

Kemiskinan dan kekurangan harta benda bukan penghalang untuk seseorang berjaya di dalam kariernya, namun itulah cabaran sebagai membakar semangat Azmir Jaafar mendaki tangga ke puncak kecemerlangan di McDonald’s Malaysia.

Dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang anak peneroka Felda Gemas Negeri Sembilan, beliau telah membuktikan segala kekurangan yang dihadapinya suatu ketika dahulu telah mampu membawanya menjejakkan kaki di Universiti Georgia, Amerika Selatan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Pemakanan (Diet Klinikal).

Menyedari kesukaran untuk mendapat pekerjaan setelah pulang dari pengajian di Amerika, Azmir pernah menjadi seorang pelayan di sebuah hotel terkemuka di sekitar tahun 1993.

Justeru, setelah menimba pengalaman beliau mula teringin bersama keluarga McDonald’s dan bermula sebagai Pengurus Pelatih sahaja.

Kesungguhan dalam melaksanakan tugasnya, Azmir telah diberi peluang ke jabatan korporat sehingga tahun 2000 dengan beberapa jawatan tinggi sebagai Ketua Jabatan Pembangunan dan Pengurus Besar sebelum diberi peluang yang lebih mencabar di luar negara.

Sebelum pulang ke tanahair semula, Azmir telah menerajui McDonald’s Middle East Development Company sehingga Januari 2015.

Sebelum Azmir diberi peluang untuk melonjakkan perniagaan McDonald’s di China, pada tahun 2006 Azmir telah pun dilantik sebagai Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia.

Ketika inilah McDonald’s giat dan berjaya dalam membuka cawangan rangkaian restorannya di seluruh Malaysia dengan konsep francaisi.

Bukan itu saja, hasil dari kecekapan Azmir menerajui McDonald’s Malaysia, ia telah mencatatkan lonjakan jualan sehingga dua kali ganda.

mcd

Di bawah bimbingannya jugalah, maka McDonald’s Malaysia telah meraih beberapa anugerah di mana mengiktiraf Malaysia kerana mengaplikasikan konsep ‘drive thru’ di pasaran baru di Asia Pasifik, Timur Tengah dan wilayah Afrika (APMEA).

Di negara China pula, Azmir telah memegang jawatan sebagai Naib Presiden/Ketua Pegawai Pembangunan di mana beliau membantu membuka lebih daripada 1,100 restoran dalam tempoh lima tahun.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Azmir juga telah melaksanakan konsep reka bentuk baru di lebih daripada 60% cawangan restoran, membuka 500 McCafes dan mengadakan tiga kali ganda iaitu lebih daripada 250 ‘drive thru’.

Ibarat peribahasa Melayu, ‘benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’, Azmir tidak pernah malu mengaku dilahirkan sebagai seorang anak peneroka Felda.

Bagi Azmir, faktor kejayaan seseorang bergantung kepada keyakinan diri dan berdikari berserta sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan jangan takut untuk bertanya malahan baginya, seorang pekerja yang bagus adalah mereka yang tekad dalam setiap tugasan yang diberi walau apa pun jawatan yang disandang.

Kepulangan Azmir ke tanahair dan menerajui semula McDonald’s Malaysia sebagai Pengarah Urusannya, adalah satu penghormatan kepadanya untuk menerajui perniagaan McDonald di Malaysia sekali lagi dan berharap untuk mencipta kejayaan baru ke tahap yang seterusnya di mana adalah menjadi sasaran baginya untuk meningkatkan jumlah restoran kepada 500 daripada 270 yang sedia ada di seluruh Malaysia.

[ Disunting dari mantra-indeeptots ]

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.