FGV Sasar Pendapatan Tambahan RM600 Juta Dengan YangambiGT1 & PalmaShield

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyasar pendapatan tambahan sehingga RM600 juta bagi tempoh tiga tahun akan datang apabila ia mula menanam benih tahan serangan kulat Ganoderma baharu, YangambiGT1.

Pembenihan itu, yang dilancarkan hari ini, akan merangsangkan kadar pengeluaran minyak sawit mentah daripada 20 peratus ketika ini kepada 26 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad berkata YangambiGT1 merupakan benih sawit pertama di Malaysia yang berdaya tahan terhadap serangan kulat Ganoderma.

“Ketika ini, empat peratus atau 60,000 hektar daripada ladang kelapa sawit keseluruhan di Malaysia telah diserang Ganoderma dengan kerugian industri dianggarkan kira-kira RM1.5 bilion,” katanya semasa pelancaran biji benih sawit, YangambiGT1 dan agen kawalan biologi, PalmaShield di sini, hari ini.

Ganoderma adalah kulat yang menyebabkan penyakit reput pangkal batang pokok sawit.

Zakaria berkata kawasan yang mengalami serangan Ganoderma dijangka meningkat kepada kira-kira 450,000 hektar, bersamaan kira-kira RM11.25 bilion, menjelang 2020.

“Kami turut mencari rakan kongsi tempatan yang berminat untuk bekerjasama dalam penanaman sawit menggunakan benih YangambiGT1,” katanya.

Bagi PalmaShield, Zakaria berkata FGV menjangkakan jualan sebanyak 300 tan metrik setahun dengan nilai anggaran RM5 juta.

Palmashield pula adalah agen kawalan biologi berasaskan kulat yang poten terhadap Ganoderma.

Sementara itu, Pengerusi Felda Group, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata dua produk berdaya tahan serangan Ganoderma baharu itu melibatkan pelaburan sebanyak RM2.85 juta.

“Benih sawit tahan serangan Ganoderma baharu itu adalah seiring dengan strategi penanaman semula syarikat pada kadar 15,000 hektra setahun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut.

Beliau berkata walaupun dua produk itu ditumpukan kepada industri kelapa sawit tempatan namun pengembangannya untuk pasaran luar negara juga terbuka melalui peluang yang ada. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.