Wanita Didakwa Miliki Barang Berkaitan Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang wanita didakwa Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini, atas tiga tuduhan memiliki dokumen pengenalan salah dan barangan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Nur Izatul Farahirah Ismail, 36, didakwa di hadapan Majistret Zuhair Rosli Mohd Nor, atas tuduhan memiliki pengikat kepala berwarna hitam bertulisan jawi yang mempunyai kaitan dengan pengganas di sebuah rumah di Jalan Kampung Pandan, Desa Pandan, di sini, jam 11.50 pagi, 19 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor, Nor Izatul mengaku tidak bersalah memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama Aisyah Marcella Lee Abdullah dan Calysta Ying, di alamat dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Mohd Rehad Mohd Aris, Nor Izatul mengaku tidak bersalah memiliki dua kad pengenalan salah atas nama Aisyah Marcella Lee Abdullah dan Calysta Ying, di alamat dan tarikh sama.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga kes. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.