Anak FELDA Bukit Ramun Hasrat Jadi Peneraju Industri Makanan Negara

KULAI – Setiap kali tiba musim pe­rayaan, pelbagai biskut dan kuih-muih memenuhi pasaran.

Sebut sahaja jenis biskut dan kuih yang diingini, pasti ada dijual sama ada di pasar raya, gerai-gerai sementara yang diwujudkan atau secara dalam talian.

Antara pengeluar biskut yang semakin popular, khususnya bagi rakyat negeri ini ialah Ramun Food Industries (M) Sdn. Bhd., yang menggunakan jenama ‘Ramun Delights’.

Pengarah Urusannya, Mahadir Sabtu, 38, berkata, syarikat tersebut yang mula beroperasi pada tahun 2007 kini membuat, menjual dan membekalkan pelbagai produk makanan seperti kek, roti, pastri dan biskut atas nama Ramun Delights.

Anak muda yang berasal dari Felda Bukit Ramun, dekat sini kini berjaya menghasilkan 160 produk Ramun Delights, yang berasaskan resepi warisan de­ngan biskut tat nanas merupakan jenama popular keluaran pihaknya.

“Di samping menghasilkan produk sendiri, kami turut menyasarkan 400 jenis biskut yang dipamer dan dipasarkan di pejabat jualan di nombor 1406B, Jalan Legenda 50, Taman Le­genda Putra, Kulai.

ramun2

“Pada peringkat permulaan, saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di tepi rumah di Felda Bukit Ramun dengan modal sebanyak RM20,000 bagi menghasilkan tat nanas, kek coklat dan kek pisang.

“Pada ketika itu, saya buat bersama-sama keluarga terma­suk isteri, kakak dan dibantu empat pekerja. Kami mampu menghasilkan 1,000 botol biskut pada sambutan Hari Raya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mahadir yang merupakan lulusan Diploma Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberitahu, pada 2008 dia dan isterinya, Zaimah Kasim, 38, nekad untuk memperbesarkan perniagaannya berikutan sambutan hebat terhadap biskut tat nanas dan beberapa jenis kek lapis terutamanya dalam kalangan pelanggan dari Johor Bahru, Kota Tinggi dan Singapura.

Bapa kepada tiga orang anak itu mengakui, selepas mendapat pelbagai bantuan dan pembiayaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), perniagaannya terus menunjukkan perkemba­ngan pesat dan hingga kini mempunyai enam pusat jualan, iaitu dua premis di Taman Lagenda Putra Kulai, dua cawangan di Taman Larkin Idaman, Johor Bahru dan masing-masing sebuah di Giant, Tampoi dan Medan Mara di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

“Mengambil kira bagi memenuhi cita rasa pelanggan bukan sahaja di negara ini, malah di Brunei, Vietnam, Singapura dan negara-negara Timur Tengah, saya dengan bantuan Mara akan membuka kilang Ramun Delights di Kepong tidak lama lagi.

“Bagi membantu mengendalikan perniagaan tersebut, saya kini mempunyai 40 pekerja tetap dan 60 pekerja sambilan dan jumlah itu boleh meningkat kepada 100 orang pada bulan Ramadan bagi memenuhi permintaan kuih-muih untuk sam­butan Aidilfitri,” katanya.

Beliau memberitahu, selain tat nanas, antara produk yang turut mendapat sambutan hangat daripada pelanggan adalah aneka kek lapis, roti dan pastri yang kesemuanya diadun berdasarkan resepi warisan keluarganya.

Dari segi pencapaian, Mahadir berkata, Ramun Delights telah menerima anugerah berprestij, iaitu Anugerah Tat Terbaik peringkat kebangsaan sejak 2012 hingga kini daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mengenai sumbangan Mara, beliau berkata, bantuan bukan sahaja berbentuk pembiayaan kewangan malah turut dibawa menyertai program-program promosi di dalam dan luar negara.

“Untuk berjaya dan menimba ilmu baharu, saya tidak pernah melepaskan peluang menyertai program-program tersebut terutama misi promosi di dalam dan luar negara. Sebagai contoh saya diberi peluang menyertai misi pameran ke Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, Dubai dan Abu Dhabi.

Beliau amat berterima kasih kepada Mara yang banyak memberi bimbingan dan pembiayaan Sistem Peningkatan Standard Perniagaan yang berjumlah RM30,000.

Mahadir bertekad untuk menjadikan Ramun Food Induststries (M) Sdn. Bhd.,muncul sebagai peneraju industri makanan negara menjelang tahun 2020. – Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.