Liga Felda: Segamat Bertemu Terengganu Di Final

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak FELDA Wilayah (PBFW) Segamat cemerlang apabila melangkah ke final Liga FELDA 2016 buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh tiga tahun selepas menewaskan wakil Kelantan, Gua Musang 2-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Kluang, semalam.

Jurulatih Segamat, Mohd Iftitah Ishak gembira dengan komitmen tinggi ditunjukkan pemain ketika di atas padang yang menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu mara ke final buat kali kedua berturut-turut.

“Perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan dan mencipta peluang,” kata Iftitah.

“Kami terlebih dulu jaringkan gol pembukaan sebelum pelawat menyamakan kedudukan dalam aksi 45 minit pertama.

“Namun kami akhirnya meledak gol kemenangan pada babak kedua untuk memenangi perlawanan sekali gus layak ke final bagi merebut Piala Pengerusi FELDA.

“Komitmen tinggi pemain dan pihak pengurusan jelas menjadi kunci utama kami melangkah ke final kedua. Pemain tidak berputus asa terutama apabila lawan menjaringkan gol penyamaan. Lawan tidak memberikan laluan yang mudah namun kami berusaha dan akhirnya berjaya.”

Anak buah Iftitah akan berdepan Terengganu bagi perebutan gelaran juara selepas lawan itu mengesahkan slot ke final lebih awal hasil kemenangan 3-1 ke atas Jengka dalam satu lagi aksi separuh akhir di Padang Astaka, Kuala Berang, kelmarin.

Terengganu melakar kemenangan apabila menjaringkan dua gol pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar.

“Sudah pasti saya lega selepas terikat 90 minit perlawanan. Kami mempunyai peluang namun kegagalan menyempurnakannya membawa padah.

“Saya merasakan kami akan menang mudah sekiranya penyerang utama kami, Azezy Azli tidak menjalani penggantungan kad merah dalam aksi separuh akhir ini,” kata jurulatih Terengganu Mohd Sharul Abdul Rahman.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober depan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.