Pendrive TMJ: Tiada Unsur Rasuah – SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bahawa pemacu pena atau pendrive yang diserahkan kepada suruhanjaya itu tidak mengandungi sebarang unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya telah selesai meneliti kandungan yang terdapat dalam pendrive yang diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin pada 2 September lalu.

“SPRM akan menghantar satu laporan mengenai siasatan itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat bagi proses penambaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan.

“Kami juga bersedia memberi kerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairy pada 2 September lalu telah menyerahkan pendrive berserta senaskhah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Azam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pendrive serta naskhah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.