Penuntut UiTM Maut Dirempuh Kenderaan Langgar Lampu Isyarat

SHAH ALAM – Seorang pelajar tahun tiga Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta Proton Wira Aeroback berhampiran Persiaran Dato Menteri di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, kereta terbabit yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 71 tahun dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah di persimpangan berkenaan.

Akibatnya, kereta tersebut melanggar mangsa, Amir Asyraf Samsudin, 24, yang datang dari arah Persiaran Dato Menteri.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang datang dari arah Pasar Awam Seksyen 6 menuju Cahaya Alam yang tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah lalu melanggar motosikal yang datang dari arah Persiaran Dato Menteri.

“Hasil siasatan mendapati, ketika mangsa bergerak, lampu isyarat adalah berwarna hijau,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Shah Alam meninggal dunia selepas kira-kira sejam menerima rawatan di situ.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.