Najib Lahir Rasa Bangga Terhadap Pencapaian Siti Noor Iasah

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

Perdana Menteri berkata walaupun nasib tidak menyebelahi atlet negara itu mendapatkan pingat dalam acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran), Siti Noor Iasah tidak perlu berputus asa.

“Walaupun nasib tak menyebelahi, jelas nampak kesungguhan. Jangan putus asa Siti Noor Iasah, teruskan usaha.

“Malaysia bangga dengan anda #Rio2016 #LajuIasahLaju,” tulis Najib di laman Twitter rasmi @NajibRazak hari ini.

Siti Noor Iasah menamatkan saingan akhir di tempat keempat dengan mencatat masa 58.55 saat sekali gus terlepas peluang mendapatkan gangsa apabila pelari Poland dan pemegang rekod dunia, Barbara Niewiedzial merebahkan diri di garisan penamat untuk meraih gangsa dengan catatan 58.51s.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Amerika Syarikat, Breanna Clark dengan catatan masa 57.79s manakala pingat perak menjadi milik Natalia Iezlovetska dari Ukraine dengan 58.48s.- BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.