Ribut: 22 Rumah, 2 Sekolah Rosak Di Kota Tinggi Dan Mersing

JOHOR BAHRU – Sebanyak 22 buah rumah dan dua sekolah rosak akibat dipukul ribut dalam dua kejadian berasingan di daerah Kota Tinggi dan Mersing, semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian di Kota Tinggi pukul 8 malam tadi melibatkan 10 rumah dan dua sekolah di enam kawasan.

Menurut kenyataan itu, empat buah rumah di Taman Sri Lalong dan tiga rumah di Kampung Baru Pasak terjejas terutama bahagian bumbung.

“Turut terjejas dua rumah di Kampung Felda Pasak, sebuah rumah di Taman Kota Indah dan sebuah sekolah masing-masing di Kampung Sungai Telur dan Felda Sungai Sayong.

“Sementara ribut di Mersing yang berlaku pukul 3.45 petang semalam melibatkan 12 rumah di Felda Tenggaroh Timur 2,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan awal pagi ini.

Jelas kenyataan itu lagi, kejadian tersebut turut mengakibatkan jalan utama ke kawasan Felda berkenaan tidak dapat dimasuki kerana tiang elektrik patah dan menghalang laluan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam dua kejadian ribut itu dan kerosakan hanya pada bahagian siling dan bumbung. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.