‘Kuasa Wang’ Merosakkan Saingan Liga – Annuar Musa

KOTA BHARU – Ketiadaan peraturan khu­sus dalam mengawal ke­telusan kewangan, undang-undang perpindahan dan gaji pemain yang diamalkan kebanyakan pasukan ketika ini dijangka akan memberikan kesan buruk kepada Liga Super untuk tempoh jangka panjang.

Kebimbangan itu diluahkan oleh Presiden Persatuan Bola­sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa selepas melihat jurang mata yang terlalu jauh antara pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

“Terdapat tiga kelompok dalam saingan liga kali ini iaitu pertama, kedua dan ketiga. Kelompok pertama Johor Darul Ta’zim (55 mata), Felda United (43) dan Kedah (37).

“Kelompok kedua Kelantan (28), Selangor (28), Perak (27) dan T-Team (TFC II, 26) manakala ketiga Sarawak (21), Polis Diraja Malaysia (20), Pulau Pinang (19) dan Terengganu (19).

“Situasi ini baik bagi segelintir kecil pasukan tetapi buruk bagi kebanyakan pasukan lain. Ia bersifat merosakkan pada saingan liga untuk tempoh jangka panjang,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Annuar memberitahu, pasukan se­perti Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Pahang terpaksa berdepan dengan penyingkiran dari Liga Super selepas kehilangan pemain akibat kuasa wang selepas me­rangkul kejuaraan sebelum ini.

Katanya, Kelantan yang turut berdepan dengan masalah kehilangan pemain akibat kuasa wang bagaimanapun terselamat daripada masalah penyingkiran.

“Dalam sukan juara boleh dilahirkan atau dibeli dan bergatung kepada keupayaan masing-masing. Keluhuran boleh menjadikan satu pasukan liga lebih kuat daripada kebangsaan. Lebih-lebih lagi sekiranya pemain tempatan diberi pilihan untuk tidak berkhidmat kepada negara.

“Semua ini menarik untuk dikaji. Yang penting ialah liga tempatan menyumbang kepada daya kompetitif. Keluhuran diperlukan untuk memberikan sumbangan kepada pasukan negara dan bukan kelab sahaja.

“Perubahan ini sewajarnya sangat diperlukan dalam sukan bola sepak di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.