Sejam Tahan Sakit Kening Tertusuk Gunting

SABAK BERNAM: Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Khir Johari, hanya mampu mengerang kesakitan lebih sejam, selepas sebilah gunting tertusuk di kening mata kanannya di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Asraf Saiefuddin Nuri Shamsuddin, sedang melakukan aktiviti di makmal sekolah itu, bersama rakan sekelasnya yang lain.

Seorang kakitangan pejabat sekolah itu, berkata mangsa yang sedang memegang gunting bangun dari tempat duduknya dan terlanggar kaki meja, sebelum terjatuh menyebabkan peralatan tajam berkenaan tertusuk keningnya.

“Semua murid Tahun Enam sedang melakukan aktiviti di makmal. Ia sebahagian daripada aktiviti yang diatur pihak sekolah selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kejadian ini bukan berpunca daripada pergaduhan atau mangsa bergurau dengan rakannya yang lain sehingga menyebabkan gunting tertusuk. Saya minta semua pihak tidak membuat andaian bukan-bukan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Sementara itu, wakil pihak pengurusan sekolah ketika ditemui BH enggan mengulas mengenai kejadian itu kerana laporan awal kes berkenaan sudah diberikan kepada pejabat pendidikan daerah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.