JKM Cari Ibu Kandung Alisya Iman

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur mencari ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang diserahkan kepada sepasang suami isteri di Puchong, Selangor, pertengahan Mei lalu.

Ketua Bahagian Kanak-kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat JKM Kuala Lumpur, Zulyadain Limat, berkata ini bagi membolehkan pihaknya menyempurnakan proses dokumentasi bayi berkenaan bagi urusan pengambilan anak angkat oleh suami isteri berkenaan.

“Bayi berkenaan yang dinamakan Alisya Iman diserahkan kepada pasangan suami isteri berusia 56 tahun dan 51 tahun itu oleh ibu kandungnya, yang dipercayai seorang wanita Indonesia bernama Astuti Sitompul, sejurus dilahirkan di sebuah hospital bersalin di Bandar Baru Puchong pada 15 Mei lalu.

“Difahamkan, wanita itu terpaksa menyerahkan bayinya kerana tidak mampu untuk menjaga dan membesarkannya sendiri selain tidak mampu membayar caj hospital ketika bersalin di pusat bersalin berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi Pegawai Pelindung JKM Kuala Lumpur di talian 03-26124039 atau 017-9727297. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.