FGV Perjelas Kerugian Saham Dalam Syarikat Turki Berjumlah RM57 Juta

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjelaskan kerugian saham luar biasa dalam Felda Iffco Gida Sanayi, Turki ketika ini adalah sebanyak RM57 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata kerugian tersebut bukan sebahagian daripada pelarasan RM200 juta hingga RM300 juta yang dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad seperti yang dilaporkan sebuah akhbar kewangan mingguan baru-baru ini.

Menurut FGV, sebarang perubahan selanjutnya bagi jumlah kerugian saham luar biasa itu adalah akan tertakluk kepada hasil audit forensik.

FGV mengulas mengenai laporan mingguan itu bahawa ia mungkin mencatatkan hapus kira sehingga RM300 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis, 2016.

Menurut FGV, pelarasan berpotensi RM200 juta hingga RM300 juta itu adalah berkaitan perancangan pengurusan untuk meningkatkan pendapatan masa hadapan syarikat melalui pelaksanaan pelan rasionalisasi bagi beberapa asetnya.

Pelan itu bertujuan meningkatkan penggunaan dan mengurangkan kos tetap, serta susut nilai entiti yang mencatat kerugian, menurut FGV.

“Jika lembaga pengarah dan pengurusan FGV memutuskan untuk meneruskan pelan rasionalisasi itu, ia akan dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kebertanggungjawapan, dan untuk kepentingan terbaik para pemegang kepentingan kami,” menurut syarikat itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.