22 Usahawan ‘Online’ Sertai Bengkel Fotografi

KOTA TINGGI – Sebanyak 22 usahawan kecil dari seluruh ne­geri ini diberi pendedahan tentang kemahiran dan teknik fotografi menggunakan telefon pintar serta kamera berteknologi tinggi bertujuan membantu mereka mempromosi produk masing-masing secara lebih berkesan dalam media sosial.

Pengalaman tersebut diperole­h mereka semasa menyertai Bengkel Teknik Mudah Fotografi Produk anjuran Pejabat Parlimen Pengerang, Felda Air Tawar 5, di sini, baru-baru ini.

Bengkel yang turut mendapat kerjasama Pengamal Seni Fotografi Lensa Fz@Mediakota itu berlangsung kira-kira lapan jam.

Pegawai Khas Pejabat Parlimen Pengerang, Syed Ben Bella Al-Habshee berkata, peserta terdiri daripada pengusaha jualan produk dalam talian serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Mereka datang dari beberapa daerah termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Pasir Gudang, Skudai dan Ulu Tiram.

“Peserta berpeluang mempelajari cara-cara menjana pendapatan dengan merakamkan foto yang menarik dan profesional untuk dimuat naik dalam laman sosial,” katanya.

Beliau berharap, pendedahan sedemikian dapat mencungkil minat, bakat dan pengetahuan dalam kalangan peserta dan dapat dimanfaatkan terutama untuk promosi perniagaan.

“Misalnya, perkongsian maklumat produk perniagaan untuk dimuatkan dalam laman sosial,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.