Rohingya: Menongkah Arus Diplomasi ASEAN

MEMANG sukar untuk menafikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwang­sa, di Kuala Lumpur dianggap peristiwa luar biasa dari sudut senario politik tempatan semasa.

Luar biasa kerana pemimpin parti politik yang dianggap seteru dalam percaturan politik tempatan mengenepikan perbezaan ideologi politik khusus untuk mempamerkan solidariti bersama-sama dengan rakyat Rohingya Myanmar yang diperlakukan tanpa peri kemanusiaan oleh kerajaan mereka sendiri.

Sebab itu, wujud kelompok tertentu yang menuduh perhimpunan itu diatur bukan untuk membantu Rohingya tetapi untuk kepentingan parti UMNO dan PAS.

Tidak mengejutkan tuduhan tersebut datang ­daripada parti politik tempatan kerana ke­hadiran pemimpin dua parti itu di atas pentas yang sama tidak memberi manfaat kepada seteru kedua-dua parti itu.

Jika dinilai tuduhan itu semata-mata dari sudut politik tempatan, memang ada sedikit kebenaran kerana rakyat akan menghargai langkah yang diambil oleh ketiga-tiga pemimpin berkenaan.

Tetapi jika dikaitkan pula de­ngan risiko yang bakal dihadapi oleh Perdana Menteri yang berada dalam pentadbiran kerajaan, maka manfaat politik tempatan yang dijangka diperoleh adalah amat tidak berbaloi.

Dalam hal ini, menarik diperkatakan juga kerajaan Myanmar telah mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan solidariti itu dianjurkan kerana meraih sokongan rakyat Malaysia.

Begitu nyata sekali tuduhan daripada parti po­litik tempatan khusus ditujukan kepada UMNO dan PAS adalah untuk memper­lekehkan kerjasama ­kedua-dua parti itu manakala tuduhan daripada ke­rajaan Myan­mar adalah untuk menafikan langkah kerajaan Malaysia yang bakal memberi kesan kepada ASEAN.

Kenyataan atau lebih sesuai diberi ungkapan amaran kerajaan Myanmar terhadap tindakan Kuala Lumpur yang dianggap sebagai campur tangan hal ehwal domestik adalah manifestasi risiko yang terpaksa diharungi Malaysia.

Perhimpunan solidariti terhadap Rohingya tidak kira dalam skala besar atau kecil dianggap perkara lumrah ketika ini bukan sahaja di Malaysia tetapi beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Brunei dan Thailand kerana isu ini dianggap sebagai tragedi dan malapetaka kemanusiaan.

Tetapi perhimpunan di Stadium Titiwangsa dianggap menongkah diplomasi ASEAN kerana ia bukan hanya disertai oleh Perdana Menteri dan Timbalannya tetapi juga oleh beberapa menteri Kabinet.

Begitu jelas sekali walaupun perhimpunan itu dianjurkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kehadiran menteri Kabinet boleh diterjemahkan sebagai bantahan daripada kerajaan juga.

ASEAN selama ini mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal domestik negara ahli lain dan kerajaan Myanmar mentafsirkan isu Rohingya sebagai masalah domestik dan menuduh Kuala Lumpur sebagai mencabuli salah satu piagam ASEAN.

Najib sebagai Perdana Menteri amat peka dengan risiko yang dihadapi dan sebab itu juga beliau pernah mengungkapkan ‘apa nak jadi, jadilah’ ketika menjelaskan tekanan yang bakal dihadapi berkaitan tuduhan campur ta­ngan hal domestik negara lain.

Menongkah arus diplomasi lazim berkaitan isu Rohingya bukanlah pertama kali diamalkan beliau.

Berhadapan dengan percaturan geopolitik kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mengenai peristiwa pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine dua tahun lalu, Najib berhubung secara terus de­ngan ketua pemberontak Republik Rakyat Donesk iaitu Alexander Borodai.

Walaupun tindakan itu dianggap menongkah arus diplomasi antarabangsa yang penuh risiko kerana melibatkan AS dan Rusia, tetapi demi merungkai isu terutama yang melibatkan kotak hitam MH17, beliau sanggup mengambil risiko yang tinggi.

Perlu ditegaskan strategi Kuala Lumpur mengenai isu Rohingya bukan dilakukan secara sembe­rono.

Ketika mesyuarat Kabinet pada 25 November lalu, keputusan dibuat oleh jemaah menteri untuk memanggil duta Myanmar ke Malaysia demi menyuarakan bantahan rasmi Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur telah memulakan langkah awal dan apakah tindakan Myanmar dan yang pa­ling kritikal reaksi lapan negara ASEAN lain?

Tambahan pula ketika perhimpunan berlangsung di Stadium Titiwangsa, pemimpin paling berpengaruh kerajaan Myanmar iaitu Aung San Suu Kyi baru sahaja selesai melakukan lawatan rasmi ke negara jiran terdekat Malaysia.

Begitulah keadaan diplomasi ASEAN yang dianggap begitu unik dan sukar untuk difahami. – UTUSAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.