Piala AFC: Status Stadium STAR FELDA United Belum Ada Pengesahan

KUALA LUMPUR – Status Stadium Tun Abdul Razak (STAR) sebagai venue perlawanan FELDA United bagi saingan Piala AFC kekal menjadi tanda tanya apabila pasukan itu mengesahkan tidak menerima apa-apa kenyataan rasmi mengenai status sebenar stadium di Jengka itu.

Situasi ini sekali gus menimbulkan ketidakpastian sama ada stadium itu layak untuk digunakan atau pun tidak sebagai venue tuan rumah untuk skuad ‘The Fighters’ itu bagi perlawanan di peringkat Asia itu.

Malah, Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Isa Abu Kassim menyatakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) belum lagi melakukan lawatan serta pemeriksaan rasmi terhadap venue itu bagi saingan Piala AFC yang disertai mereka musim hadapan.

“AFC juga tidak mengeluarkan sebarang makluman secara bertulis mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, taklimat status ini akan disahkan selepas seminar dan taklimat yang akan diadakan oleh pihak AFC minggu hadapan dengan kami akan membentangkan perincian mengenai venue bagi pasukan ini.

“Untuk makluman, padang stadium ini mempunyai lesen yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan ujian pemeriksaan dijalankan setiap tahun oleh FIFA bagi stadium yang berdaftar dengan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Skuad bimbingan Azmi Mohamad itu berkemungkinan besar tidak dapat menggunakan STAR bagi perlawanan di laman sendiri untuk aksi peringkat Asia selepas gagal memenuhi sebahagian spesifikasi pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara syarat untuk mendapat kelulusan bagi kejohanan Piala AFC adalah keperluan hotel dan lapangan terbang antarabangsa yang berdekatan sebagai kelulusan bagi membolehkan stadium terbabit digunakan untuk kejohanan terbabit.

Mengikut syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu, sesebuah stadium perlu berada dalam lingkungan 200 kilometer (km) dari lapangan terbang antarabangsa dan masa perjalanan tidak melebihi 2 jam 30 minit.

Jika stadium itu tidak memiliki lapangan terbang antarabangsa, kelulusan boleh diberikan jika ada lapangan terbang domestik yang mempunyai penerbangan sambungan sekurang-kurangnya empat kali sehari ke lapangan terbang antarabangsa.

Selain itu, tuan rumah juga perlu menyediakan kemudahan penginapan hotel yang mempunyai rating antarabangsa lima bintang kepada pasukan pelawat atau hotel empat bintang jika tiada sebarang hotel lima bintang di kawasan terbabit. – BH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.