FELDA Beli 37% Ekuiti Dalam PT Eagle High Plantation

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli sebahagian ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia.

Menerusi SPA berkenaan, FICP akan membeli ekuiti sebanyak 37% dalam EHP yang disenaraikan di bursa saham Jakarta itu.

Pembelian bernilai US$505.4 juta itu akan membolehkan FELDA memperolehi akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 ha di Indonesia (kira-kira 4.4 kali keluasan Singapura), termasuk lebih 125,000 ha yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Bagaimana pun, butiran lanjut mengenai pembelian itu belum diumumkan berikutan SPA terbabit masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

FELDA dalam satu kenyataan berkata keputusan untuk membeli ekuiti tersebut adalah selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi antara kumpulan minyak sawit terbesar dunia.

“Kita harus terus berkembang kerana dengan berada ditakuk yang sama bermakna FELDA akan ketinggalan memandangkan pesaing-pesaing kami berkembang pantas dalam industri yang juga sentiasa berkembang ini.”

“Bagi menjana pertumbuhan ini, FELDA perlu meneroka kawasan baru di luar negara berikutan tanah perladangan di Malaysia semakin terhad, ” jelas kenyataan tersebut.

Selain daripada akses kepada kawasan ladang, pembelian EHP akan turut membuka peluang kepada FELDA dan syarikat-syarikat bersekutunya untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di pasaran domestik Indonesia yang besar dan sedang berkembang pesat.

“Kami percaya pembelian ini akan membawa kesan positif kepada industri dan juga negara.”

“Pelaburan dalam sebuah syarikat minyak sawit utama di Indonesia juga mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus menggerakkan agenda Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit yang ditubuhkan baru-baru ini dengan kedua-dua negara sebagai negara pengasas,” kata kenyataan tersebut.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.