Sitdek Satu-satunya Penarik Beca Di Gemas

Semasa menjamu selera di sebuah restoran di Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini, penulis terserempak dengan kehadiran dan melihat gelagat seorang penarik beca, yang mungkin satu-satunya di daerah ini.

Perkhidmatan beca mungkin biasa dilihat di tempat tarikan pelancong seperti Melaka, Pulau Pinang atau Terengganu, tetapi hampir tiada langsung di Negeri Sembilan.

Namun siapa sangka di bandar kecil ini ada khidmat beca, yang dihiasi penuh dengan bunga dan iringan muzik yang kuat. Itu yang digambarkan penulis.

‘Si pengayuh beca’ berkenaan ialah Sitdek Ahmad Ali, 58, bekas anggota tentera adalah juga seorang peneroka Felda yang menetap di Felda Palong 4, Gemas. Beliau memberitahu penulis bahawa perkhidmatan becanya bermula dua bulan lepas.

Lebih menarik beca yang digunakan itu berusia lebih 100 tahun. Malah ia juga beca yang dikayuh semasa menyertai ekspedisi solo selama empat bulan dari Melaka ke Nanjing di China pada 2001.

Siapa sangka, nama si pengayuh beca ini pernah tersenarai dalam ‘Malaysia Book of Records’ yang menarik trekcha (beca) mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 kilometer (km) selama 50 hari secara solo pada tahun 2000.

Trekcha sejenis kaedah pengangkutan lama menggunakan pedati yang ditarik orang untuk membawa penumpang. Ia dipercayai dibawa masuk ke Melaka pada 1910 oleh para pedagang China.

Bagi negeri di Utara Semenanjung, trekcha dikenali sebagai “lancha” atau beca tarik bagi sesetengah orang dan ia sering kita lihat digunakan sebagai kaedah pengangkutan dalam filem-filem lama China.

Selepas mengukir nama, Sitdek, yang berasal dari Sungai Rambai, Jasin, dihadiahkan beca 100 tahun itu oleh Unit Pelancongan Negeri Melaka.

Beliau kemudian membuat keputusan untuk mengguna sepenuhnya hadiah itu untuk melangkah maju lagi ke hadapan dan menyertai misi solo ke China.

“Bagaimanapun, misi solo selama empat bulan itu tidak berjaya berikutan sumber kewangan tidak mencukupi,” katanya dan menambah bahawa dana yang beliau ada tidak mencukupi untuk membayar pelbagai bayaran dan levi yang dikenakan oleh negara-negara yang dilaluinya bagi misi berkenaan.

Sebenarnya beca ini telah tersimpan di rumah Sitdek sejak 16 tahun lepas sebelum beliau mengambil keputusan membawanya keluar tiga bulan lepas.

“Mulanya saya berhasrat untuk mengayuh beca pergi ke Melaka, namun bila saya singgah di sini (Dataran Satria, Gemas) untuk berehat, tidak sangka ada pula permintaan daripada orang ramai yang ingin menaiki beca,” katanya.

Kini Sitdek adalah satu-satunya penarik beca di Gemas.

Tidak ada harga yang ditetapkan untuk ke mana-mana destinasi. Sebaliknya beliau menyerahkan kepada keikhlasan pelanggan untuk menetapkan jumlah yang mereka sanggup bayar.

“Ada kalanya saya dibayar RM1, RM5 dan paling maksimum RM20. Namun ada juga yang sekadar bersedekah sambil mengambil gambar tanpa menaikinya,” katanya.

Beliau berkata, rutin harian beliau bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 2.30 pagi dan memperoleh RM100 untuk tempoh berkenaan.

“Saya menunggu penumpang di sebuah pasar raya di pusat bandar dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Setelah pasar raya ditutup, saya akan berlegar pula di kedai-kedai makan sehingga pukul 2.00 pagi, bergantung keadaan cuaca.

“Sejak kawasan di sini (Dataran Satria) dibuka tahun lepas, saya dapati pengunjung semakin ramai dan ini memberi peluang kepada saya untuk menambah pendapatan,” kata bapa kepada 15 anak ini.

Menurut Sitdek, beliau membelanjakan lebih RM1,000 untuk tujuan penyelenggaraan termasuk mendapatkan barang gantian seperti tayar, aksesori dan barang hiasan untuk beca yang telah berusia lebih 100 tahun ini.

“Ada ketikanya saya terpaksa pergi sehingga ke Melaka dan Johor untuk mendapatkan alat ganti basikal tua ini kerana mudah didapati di sana,” katanya.

Kehadiran yang dinanti

Kehadiran Sitdek di kawasan berkenaan sering ditunggu-tunggu oleh pelawat dan peniaga di sekitar Dataran Satria.

Seorang kakitangan awam dikenali sebagai Irdina Sofea Zulkifli, 34, menetap di Seremban, sering menunggu-nunggu untuk menaiki beca Sitdek.

“Bagus juga ada perkhidmatan beca seperti ini, sekurang-kurangnya boleh mempopularkan tempat-tempat di persekitaran ini kepada orang ramai,” katanya.

Seorang pengusaha restoran Abdul Majid Abd Salam, 57, berkata kemunculan Sitdek di kawasan berkenaan sedikit sebanyak merancakkan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

“Dahulu kawasan perniagaan ini tidak ramai orang datang memandangkan tempat ini masih baharu, namun sejak kemunculan Sitdek dengan becanya, ia menjadikan tempat ini semakin popular dan dikunjungi ramai,” kata Abdul Majid.

Menarik mengenai Gemas

Gemas adalah sebuah bandar kecil di sempadan Negeri Sembilan dan Johor. Gemas terbahagi kepada dua iaitu Gemas Lama dan Gemas Baharu yang mana Gemas Baharu terletak di sebelah negeri Johor manakala Gemas Lama di dalam Negeri Sembilan.

Di pekan ini juga pertemuan persimpangan landasan kereta api barat dan timur Malaysia. Stesen kereta api Gemas didirikan pada 1922 dan masih beroperasi sehingga sekarang. – Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.