Jumlah Mangsa Banjir Menyusut Di Pahang, Johor, Perak, Selangor

KUALA LUMPUR – Bilangan mangsa banjir di Pahang, Johor, Selangor dan Perak menyusut kepada 3,856 orang setakat 9 malam ini berbanding 4,371 pada petang tadi.

Mereka ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di negeri-negeri berkenaan.

Di Pahang, 2,365 mangsa daripada 679 keluarga kini berteduh di 47 PPS berbanding 2,665 orang daripada 773 keluarga petang tadi.

Pekan mempunyai mangsa paling ramai iaitu 1,222 orang, diikuti Maran (975), Bera (121), Temerloh (31) dan Rompin (16).

Di Johor, bilangan mangsa malam ini berkurangan kepada 1,020 orang daripada 271 keluarga di 17 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Segamat (693 mangsa), Muar (302) dan Tangkak (25). Negeri itu merekodkan 1,158 mangsa setakat 4 petang tadi.

Tiga jalan masih terputus hubungan meliputi Jalan Pogoh-Tekam di Segamat, Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian, dan Jalan Pagoh Tekam di Muar.

Di Perak, jumlah mangsa menyusut kepada 255 orang di tiga PPS setakat 9 malam ini berbanding 318 mangsa petang tadi.

Daerah Manjung merekodkan 208 mangsa, disusuli Hilir Perak (34) serta daerah Larut, Matang dan Selama (13).

Di Selangor, 216 mangsa ditempatkan di tiga PPS malam ini berbanding 230 orang pada 4 petang tadi.

Sepang dan Sabak Bernam masing-masing merekodkan 211 dan lima mangsa.

Antara beberapa kawasan di Sepang yang dinaiki air ialah Kampung Lalang, Kampung Seri Tanjung dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Ampar Tenang. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.