Laporan Prestasi Kewangan FELDA Akan Dibentang 20 Februari Ini

JOHOR BAHRU – Laporan prestasi kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) termasuk isu penjualan aset akan dibentang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah pada 20 Februari ini di Kuala Lumpur.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata FELDA akan memaklumkan sebarang keputusan hasil daripada mesyuarat berkenaan terutama kepada golongan peneroka yang mahu melihat perubahan dalam organisasi itu.

Katanya, FELDA hanya akan menjual aset atau harta pelaburan yang tidak mempunyai pulangan kepada syarikat dan penjualan berkenaan dilihat tidak akan menjejaskan operasi organisasi itu.

“Saham atau harta itu adalah pelaburan, fungsi FELDA bukan urus bank atau harta, tetapi urus dana dan ada pulangan yang boleh digunakan bagi tujuan operasi, seterusnya membawa kesejahteraan kepada peneroka dan hasil kebun.

“Apa yang penting, pengurusan dana dengan baik iaitu wang tunai, pelaburan dalam saham, harta, syarikat mesti ada pulangan dan kalau tidak berbaloi pulangannya, harga meningkat jadi kita (FELDA) perlu jual harta pelaburan kita.

“Ini (harta dan aset pelaburan) bukan jadi asas untuk operasi kita (FELDA). Ini harta pelaburan. Kena bezakan perkara ini dan saya yakin masyarakat dan warga peneroka faham perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Gotong-royong Cegah Wabak Denggi di Pangsapuri Taman Larkin Idaman di sini, Sabtu.

Shahrir berkata, penjualan aset FELDA di luar negara dilihat tidak akan menjejaskan operasi sehingga boleh menjadikan syarikat muflis seperti yang digembar-gembur oleh pihak pembangkang. – BH

AHLI Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (dua dari kanan) bersama penduduk bergotong royong menyapu sampah sempena Program Gotong Royong Cegah Wabak Denggi di Pangsapuri Taman Larkin Idaman, Johor Bahru.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.