Dasar Penubuhan FELDA Bantu Kembangkan Ekonomi Warganya

Bila memperkatakan mengenai Felda, pasti kita membayangkan tanaman kelapa sawit, getah dan kawasan pedalaman.

Sebenarnya ia lebih daripada itu, cuma orang luar mungkin tidak mengetahuinya.

Kunjungan penulis bersama-sama wartawan media yang menyertai program Lawatan Media Siri 1 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedikit sebanyak mengungkai tentang Felda dan nasib warganya.

Objektif utama lawatan media ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat secara amnya bahawa Felda tidak hanya tertumpu kepada perladangan sawit semata-mata.

Malah terdapat pelbagai peluang ekonomi lain yang diterokai oleh para peneroka Felda.

Penulis memulakan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Felda Ulu Belitong, Wilayah Segamat bersama rakan media lain.

Setelah tiba, kami disambut dengan sajian nasi ambeng yang dihidangkan dalam talam yang disediakan oleh jemaah surau Felda Ulu Belitong selain sup rusa yang disediakan oleh pengusaha Homestay.

ADA PELUANG UNTUK WARGA FELDA GENERASI KEDUA

Menurut warga Felda Mohd Faisal Sulaiman, 34, terdapat banyak peluang di Felda namun perlu bijak memilih peluang.

Usaha yang jitu dan semangat sentiasa mencari ilmu adalah perkara asas untuk berjaya dan muncul cemerlang.

“Jujur saya katakan di Felda, kami mempunyai peluang yang amat luas terutamanya golongan muda untuk mencari rezeki tambahan dan pihak pengurusan memberi pelbagai bentuk sokongan untuk bertapak,” tambah beliau.

Faisal memulakan perniagaan A Wood Eyewear Enterprise, perusahaan bingkai kacamata berasaskan kayu pada tahun 2013 dan sehingga kini hampir 800 bingkai kacamata dihasilkan.

Beliau menerima tempahan dari dalam dan luar negara.

Diperbuat menggunakan teknologi laser, bingkai kacamata kayu ini lebih ringan, tahan lama dan boleh ditempah mengikut kehendak pelanggan daripada segi bentuk dan warna.

Harga cermin mata ini bermula dari RM200 dan boleh mencecah RM1,000.

Beliau kini memiliki aset bernilai RM60,000 dan mampu meraih pulangan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

LITAR LUMBA BAWA PELUANG EKONOMI

Seorang lagi peneroka Felda Ulu Penggeli yang berjaya dalam dunia perniagaan ialah Hashim Badri, yang juga pemilik Ulu Penggeli Motorcross Circuit di rancangan Felda yang sama.

Litar lumba itu kini menjadi kebanggaan penghuni skim Felda itu.

Litar lumba Motor Cross itu juga menjadi tumpuan peminat sukan lasak luar dan dalam negara.

Anak Hashim, Mohd Nor Rashidi, 34, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Ulu Penggeli, berkata litar lumba motor cross di bawah kelab Motor Cross Ulu Penggeli menunjukkan pelbagai peluang yang ada di Felda selain aktiviti perladangan kelapa sawit.

“Pihak pengurusan Felda banyak membantu dengan menyediakan infrastruktur litar lumba serta kewangan untuk menyelenggara litar ini selain bantuan peralatan,” katanya.

Litar yang dibina pada tahun 2013 menyaksikan pelbagai acara bertaraf lumba motor dan turut membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat khususnya generasi kedua.

“Mereka lazimnya membuka gerai menjual makanan dan minuman dan seumpamanya semasa perlumbaan atau karnival permotoran,” katanya dan menambah, Majlis Belia Felda Malaysia turut menghulurkan bantuan untuk mencari bakat-bakat baru lumba dan mengasah bakat mereka.

“Saya juga adalah kontraktor di kawasan ini selain membekalkan keperluan kilang-kilang sawit di sini,” tambahnya lagi.

SATU WILAYAH SATU INDUSTRI

Pengusaha ternakan Rusa di Felda Ulu Belitong, Jaafar Sabakir, 55, berkata semangat kental, usaha yang berterusan dan berfikiran ke hadapan adalah aspek penting untuk menentukan hala tuju sesebuah perusahaan itu berjaya mahupun sebaliknya.

“Felda telah membuka peluang untuk kami semua, dan seterusnya bergantung kepada usaha kita untuk memajukan perusahaan kita sendiri,” katanya.

Bermodalkan sebanyak RM60,000, perusahaan rusa ini telah beroperasi selama dua tahun dan kini mempunyai kira-kira 35 ekor rusa dan menjana pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Dari segi industri makanan ringan yang diusahakan peneroka Felda, pelbagai usaha dilakukan antaranya melalui Program Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) yang menguruskan Pusat Pengumpulan Makanan Setempat (PPMS) di Felda Pasak.

Pengurus PPMS Felda Pasak Wilayah Kota Tinggi, Ahmad Omar berkata melalui PPMS, produk peneroka diletakkan di bawah jenama Felda Best.

“Tujuan utama adalah untuk membolehkan produk mereka mencapai piawaian makanan, pensijilan halal, Mesti, GMP dan HACCP yang ditetapkan untuk dipasarkan bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke peringkat antarabangsa.

“Usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan juga terus dibuat dengan kerjasama SIRIM dan SME Corporation,” kata beliau kepada wakil media selepas lawatan ke pusat berkenaan.

PERPADUAN DAN ANUGERAH KECERIAAN KAMPUNG FELDA

Sepanjang lawatan ke Felda Ulu Penggeli, Felda Lok Heng Barat dan Felda Ulu Belitong, kami menyaksikan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang saling bergotong-royong untuk meraikan tetamu yang hadir.

Perpaduan dalam kalangan mereka telah pun mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan ‘Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF)’.

Felda Ulu Penggeli yang terletak di daerah Kluang telah dinobatkan sebagai johan Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2016 yang meraih hadiah wang tunai RM 1 juta, menjadi satu nama yang disegani kerana sering tersenarai sebagai finalis pertandingan itu.

Kejayaan itu adalah berkat amalan kesepakatan, gotong-royong dan persefahaman antara pihak pengurusan Felda serta warga Felda.

Pengurus Felda Ulu Penggeli, Md Jaafar Mohamed Noah 57, berkata, kawasan yang satu ketika dahulu umpama kawasan “jin bertandang” kini telah berubah menjadi perkampungan yang bersih, indah dan ceria hasil usaha Felda dan 363 keluarga peneroka.

“Roh yang dibawa oleh penduduk di kawasan ini amat membanggakan di mana untuk mencapai tahap ini memerlukan usaha yang berterusan dan setelah enam Tahun kami lakukan gotong-royong, pelbagai aktiviti bersama, semangat menyertai pertandingan kebersihan dan keceriaan sehingga masing-masing merasakan rumah mereka ‘Rumahku, Syurgaku’ dan akhirnya membuahkan hasil”, katanya.

Manakala sepanjang lawatan di Felda Lok Heng dan Felda Ulu Belitong, dapat dilihat pemandangan menghijau di kiri kanan jalan.

Apa yang menarik kebersihan kawasan sekeliling, keunikkan serta keindahan landskap semulajadi desa membuatkan kami terpegun.

Melihatkan pada kebersihan setiap kediaman yang tersusun cantik sahaja, sudah melambangkan jalinan kesepakatan dan ukhuwah teguh yang wujud dalam kalangan penduduk di samping disiplin diri untuk memastikan kawasan perumahan sentiasa bersih dan menarik. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.