Walaupun Berakhir Seri, Satianathan Puas Hati Prestasi FELDA United

SHAH ALAM – Pasukan FELDA United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila seri 1-1 menentang wakil Vietnam, Hanoi FC pada aksi kedua Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad FELDA United yang masih menghuni tangga terbawah kumpulan berkenaan dengan kutipan satu mata selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Beraksi di atas padang becak ekoran hujan lebat pada awal permainan, ternyata menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan dalam usaha memburu gol awal.

FELDA United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Zah Rahan Krangar pada minit ke-23.

Kelekaan barisan pertahanan FELDA United memberi ruang kepada pemain tengah pasukan lawan, Do Hung Dung menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Ketua jurulatih FELDA United, B. Satianathan berkata beliau berpuas hati dengan keputusan itu kerana pasukan pelawat rata-rata dibarisi bekas dan pemain kebangsaan Vietnam, sambil memuji anak buahnya yang mempamerkan prestasi membanggakan pada perlawanan itu.

Beliau menambah, tumpuannya selepas ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal skuad FELDA United, yang disifatkannya masih rendah.

“Ketika saya mengambil alih pasukan kira-kira sebulan lepas, saya dapati kelemahan utama adalah kecergasan fizikal dalam kalangan pemain dan kita mempunyai tempoh seminggu untuk mengatasi masalah ini untuk perlawanan akan datang menentang Ceres Negros FC (dari Filipina) pada 15 Mac,” kata Satianathan.

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.