Konvensyen FELDA: FELDA Wilayah Trolak & MBFM Wilayah Johor Bahru Lapor Polis

KUALA LUMPUR – Pengurusan FELDA Wilayah Trolak dan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Johor Bahru hari ini mengambil tindakan dengan membuat laporan polis berhubung dengan penggunaan nama FELDA dalam konvensyen yang bakal dianjurkan oleh Pakatan Harapan (pembangkang).

Mewakili FELDA Wilayah Trolak, Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak, Haidir Moin tampil membuat laporan polis selepas tersebarnya risalah mengenai Konvensyen FELDA yang akan dianjurkan pakatan pembangkang yang bakal dilangsungkan pada 19 Mac 2017 di Shah Alam, Selangor.

Kata Haidir, dia berasa curiga mengenai anjuran konvensyen tersebut memandangkan pengurusan FELDA sendiri tidak mengetahui pembabitan FELDA dalam majlis tersebut.

Haidir juga berharap pihak penganjur tidak diberikan permit untuk melaksanakan konvensyen tersebut oleh pihak berkuasa.

“Saya berasa curiga tentang kesahihan program ini kerana kenapa orang yang tiada kaitan dengan FELDA bersusah-payah menganjurkan konvensyen ini pada hal pengurusan FELDA sendiri dan peneroka seluruh negara tidak diberitahu mengenai program ini.

“Oleh itu, saya sebagai Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak terpanggil untuk membuat laporan polis agar pihak penganjur tidak diberikan permit oleh pihak berkuasa untuk meneruskan program tersebut,” kata Haidir.

Turut hadir semasa membuat laporan polis tersebut adalah Ketua Peneroka FELDA Wilayah Trolak, Sulong Jamil, Wakil GPW Wilayah Trolak dan KAF Wilayah Trolak dan Fakhrul Razi Mohd Habib.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi MBFM Wilayah Johor Baharu , Mahadir turut mengambil pendekatan sama dengan membuat laporan polis mengenai penggunaan nama FELDA dalam konvensyen anjuran Pakatan Harapan.

Mahadir berkata, selain tidak mendapat kebenaran dan persetujuan pihak pengurusan FELDA untuk menggunakan nama ‘FELDA’ dalam tajuk konvensyen itu, ia adalah perkara utama yang dibuat untuk memecah-belahkan warga peneroka FELDA yang selama ini hidup aman dan damai.

“Ini adalah satu helah dan dan usaha pihak tertentu (Pakatan Harapan) untuk memecah-belahkan masyarakat FELDA yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.

Mahadir juga turut berharap pihak berkuasa tidak memberikan permit kebenaran kepada pihak penganjur untuk melaksanakan Konvensyen FELDA itu.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.