Ketua Kluster Hiliran Sawit dan Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil, Datuk Wira Adam berkata, ia seiring dengan sasaran FGV untuk meningkatkan segmen perniagaan hiliran antara 30 hingga 40 peratus selepas tahun 2020.

Katanya, setakat ini, produk utama Delima Oil iaitu minyak masak Saji menyumbang 97 pe­ratus daripada hasil syarikat di samping produk pelengkap yang lain seperti Saji Mayo, Saji Crea­mers, mi segera Saji Instant, sos cili, garam bukit, krimer jagung dan seri kaya.

“Kita akan terus melengkapkan rangkaian produk kulinari di bawah jenama Saji dari semasa ke semasa kerana minyak masak Saji telah sinonim dengan rakyat Malaysia selama hampir 20 tahun berbanding produk lain. Kita mahu apabila mereka ingat Saji, mereka juga akan mengenali rangkaian produk-produk kita yang lain.

“Sememangnya kita ada perancangan untuk mengeluarkan beberapa lagi produk baharu ter­utama krimer dan pemanis. Tetapi dalam masa sama, kita juga perlu selektif dan memastikan setiap pengenalan produk baharu adalah seiring dengan perniagaan teras kumpulan sebagai syarikat perladangan minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran logo baharu Saji, jenama produk kelua­ran Delima Oil di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Samad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Pengenalan logo baharu itu yang direka melengkung se­perti mangkuk melambangkan kedudukan kulinarinya dengan senyuman terukir yang me­ngundang minat pengguna untuk menggunakan jenama tersebut manakala latar belakang warna hijau memberi kesegaran kepada identiti jenama.

Saji muncul jenama dipercayai rakyat Malaysia bermula dengan minyak masak dan kini mempunyai lebih 35 peratus penguasaan pasaran. Minyak masak Saji telah menembusi pasaran Filipina, Myanmar dan Kemboja.

Buat masa ini, segmen huluan menyumbang kira-kira 80 peratus kepada pendapatan kumpulan dan FGV menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada segmen tersebut dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Menurut Wira, pihaknya berharap dapat memberikan penampilan mesra pengguna yang segar dan kontemporari kepada logo Saji bagi menarik generasi baharu pengguna dan mengekalkan pengguna setia. – UTUSAN ONLINE