Tanah Runtuh: 8 Mangsa Hilang Belum Ditemui

KINABATANGAN – Lapan orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sungai Labau Sook Keningau semalam, belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Sahak Rahmat berkata operasi itu akan disambung esok pada jam 7.30 pagi membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan rakyat Filipina itu hilang dalam kejadian kira-kira jam 12.19 tengah hari.

Nahas berlaku bila tanah runtuh dari bukit menghempap tiga dari lapan rumah pekerja ladang kelapa sawit Seng Fo.

Menurutnya laporan awal identiti empat mangsa perempuan dikenali sebagai Asma, 36; Ana, 16; Titiwana, 12; dan Alisan, 8.

Empat mangsa lelaki ialah Sabril, 10; Alan, 11; Johati, 11; dan Azril, 6.

Beliau berkata tiga mangsa terselamat dalam kejadian itu dikenali sebagai Jalikah Malingkul, 50, (perempuan); Abdul, 50, (lelaki); dan Joshnam bin Abdul, 18, (lelaki). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.