FGV Meterai MoU Dengan Rakan Perniagaan Strategik Teroka Pasaran India

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Trimex Industries Private Limited (Trimex), dengan sasaran meneroka kemungkinan membekalkan dan mengedarkan pelbagai produk minyak sawit untuk menembusi pasaran pertengahan dan hiliran India.

Trimex merupakan anak syarikat Trimex Group dari India, satu daripada konglomerat galian dan logam terbesar di rantau itu, terlibat dalam perniagaan perlombongan dan dagangan galian perindustrian dengan operasi logistik di pelabuhan utama di India.

“Sejajar dengan strategi pengembangan pasaran kami, kami merancang mempelbagaikan penawaran produk kami kepada perniagaan kecil dan sederhana dan pasaran pengguna,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dalam satu kenyataan.

Dengan MoU ini, FGV berharap dapat meneroka kemungkinan membekalkan dan mengedarkan minyak sawit FGV ke India menerusi perkongsian dengan pemain industri strategik seperti Trimex Group.

India merupakan pasaran terbesar FGV bagi minyak sawit mentah dan ditapis, minyak sawit diluntur dan dinyah bau dengan jumlah gabungan eksport 600,000 tan metrik, setahun,” katanya.

Sebagai pengimport minyak sawit terbesar dunia, India menyumbang antara 10 dan 12 peratus daripada bahagian penggunaan global, kata Zakaria.

Bagaimanapun, pertumbuhan pengeluaran minyak makan domestik tidak seiring dengan pertumbuhan penggunaan dan jurang terus melebar apabila pendapatan boleh guna meningkat.

Jurang itu dipenuhi dengan import minyak makan bagi hampir 55-65 peratus daripada jumlah penggunaan yang dicatatkan semasa tempoh lima tahun lepas.

Lebih 14 juta tan metrik minyak makan diimport pada 2015 dengan nisbah 89 peratus minyak makan mentah dan 11 peratus minyak ditapis.

Minyak sawit mentah merupakan minyak makan terbesar diimport oleh India kira-kira 54 peratus diikuti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari masing-masing menyumbang 21 peratus dan 11 peratus. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.