Chong Wei Tempah Tempat Ke Suku Akhir

KUCHING: Seperti diramal, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemain nombor satu dunia berkenaan mudah mengetepikan cabaran Hu Yun dari Hong Kong 21-8, 21-6 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Perpaduan Kuching.

“Jika saya ada peluang untuk menamatkan perlawanan dengan cepat, saya akan lakukannya, …itulah yang saya lakukan hari ini. Kini saya boleh fokus untuk menghadapi aksi suku akhir pula,” kata Chong Wei ketika sidang media selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.

Pemain berusia 35 tahun itu akan berdepan pemain muda Korea Selatan, Jin Jeon Hyeok bagi pemburuan tempat ke separuh akhir, esok. “Saya tidak pernah menentang dia lagi sebelum ini.

Walaupun dia pemain daripada pusingan kelayakan, namun saya tetap perlu fokus dan tidak memandang rendah kemampuannya,” kata juara Terbuka Malaysia 11 kali itu.

Turut layak ke suku akhir ialah juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China selepas menewaskan rakan senegara, Huang Yuxiang 16-21, 21-18, 21-10 dalam aksi pusingan kedua.

Terdahulu, beregu lelaki negara, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada Chai Biao-Hong Wei dari China 6-21, 19-21. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.