Serangan Kimia: AS Sedia Bertindak Ke Atas Syria

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Russia dilaporkan berbalah berhubung isu Syria selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk bertindak susulan serangan senjata kimia di negara itu.

Sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terkorban dalam insiden Selasa lalu di Khan Sheikhun, iaitu kawasan dikuasai pemberontak di utara Syria, manakala berpuluh-puluh lagi dirawat selepas menunjukkan tanda menggeletar dan mulut berbuih.

Trump sebelum ini mendesak Presiden, Barack Obama supaya tidak mengarahkan serangan ke atas rejim Bashar al-Assad, selepas senjata kimia digunakan dalam satu serangan di Syria pada 2013.

Malah, ketika mengambil alih pentadbiran AS, Trump berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan sekutu Bashar, iaitu Presiden Russia, Vladimir Putin.

Ketika itu, Trump menegaskan campur tangan di Syria hanya bertujuan untuk menangani masalah militan Daesh.

Namun, pandangan Trump berhubung konflik itu berubah selepas beliau menyaksikan rakaman kanak-kanak Syria yang menanti saat kematian akibat serangan senjata kimia berkenaan.

“Bagi saya, ia sudah melampaui batasan,” kata Trump kepada pemberita pada sidang media bersama Raja Abdullah dari Jordan, semalam. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.