Bantuan Benih Kelapa, Durian Jana Pendapatan

KOTA TINGGI – Pemberian anak benih kelapa pandan dan durian musang king adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha membantu masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sekolah terpilih menambah pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor merangkap Adun Johor Lama, Asiah Md Ariff berkata, Dun Johor Lama menjadi Dun terakhir yang melaksanakan program pertanian rakyat selepas Dun lain selesai.

Menurutnya, sebanyak 250 benih durian king dan 175 benih kelapa pandan serta enam pam racun disampaikan sempena majlis sama yang turut diadakan penyampaian sijil bantuan program Galakan Usahawan (PGU) Dun Johor Lama.

“Bantuan ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu masyarakat. Kita harap apabila benih pokok ini nanti mengeluarkan hasil, ia akan dapat menambah pendapatan terutama kepada tabung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan sekolah yang menerima bantuan ini.

“JKKK yang membuat projek seperti Kampung Seluyut dan Felda Air Tawar 3 juga menerima bantuan pam racun ‘mist duster’ bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan kawasan.

“Bagi penerima sijil bantuan usahawan industri kecil sederhana (IKS) seramai lima orang, diharap mereka terus gigih menjalankan perniagaan walaupun banyak cabaran yang mendatang,” katanya pada majlis tersebut.

Terdahulu, majlis yang diadakan di Pusat Aktiviti Batu 1 Jalan Mawai itu turut dihadiri, wakil Pegawai Pertanian Daerah, Saifulnizam Mustafa dan Ketua Kampung Makam, Md Samin Jaji.

Sementara itu, Saifulnizam berkata, program dianjurkan adalah arahan Exco pertanian supaya ia dilaksanakan di setiap kawasan Dun.

“Benih kelapa dan durian ini kita serahkan kepada mereka yang terpilih untuk ditanam di tempat yang sesuai.

“Kelapa akan ambil masa tiga hingga empat tahun, manakala durian lima hingga tujuh tahun untuk membuahkan hasil.

“Diharap penerima akan menanam dan menjaga dengan baik tumbuhan ini agar akhirnya mendapat pulangan baik,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.