Qari WP, Qariah Negeri Sembilan Johan Tilawah Kebangsaan

AYER KEROH: Qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias diumumkan sebagai johan qari dan qariah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1438H/2017M yang berlangsung di Dewan Seri Negeri di sini, malam tadi.

Wan Fakhrul Razi yang mengumpul 89 peratus markah dan Normalina (86.33 peratus), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000; piala pusingan; sebuah kereta PROTON Exora; tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji, RM1,000 sumbangan kerajaan Melaka, cenderamata dan sijil penyertaan.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bulan depan.

Tempat kedua Tilawah al-Quran dimenangi qari Melaka, Azraie Abd Hak (88.34 peratus) dan qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar (84 peratus).

Mereka membawa pulang RM10,000; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; RM1,000 sumbangan kerajaan Melaka; cenderamata dan sijil penyertaan. Tempat ketiga Tilawah al-Quran pula dimenangi qari dan qariah Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (87 peratus) dan Munirah Kasim (83.68 peratus).

Mereka membawa pulang RM7,500; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; RM1,000 sumbangan kerajaan Melaka; cenderamata dan sijil penyertaan.

Johan keseluruhan Tilawah al-Quran dimenangi negeri Kelantan dengan markah keseluruhan 84.51 peratus.

 

Hadiah kepada pemenang qari disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, manakala pemenang qariah disampaikan isterinya, Toh Puan Zurina Kassim.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Buat julung kalinya, MTHQK edisi Tahun 1438H/2017M diadakan secara serentak, di mana Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan bermula Selasa lalu hingga semalam, manakala Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan bermula 2 April lalu hingga semalam.

MTHQK Tahun 1438H/2017M menerima seramai 28 peserta acara tilawah, manakala 79 peserta bagi acara Menghafaz al-Quran.

Sementara itu, bagi kategori hafazan menyaksikan wakil Johor, Muhammad Syazani Jemi, diumumkan johan kategori 1-30 juzuk lelaki apabila memperoleh 99.23 peratus markah, manakala wanita pula dimenangi Nur Amalina Azharuddin dari Melaka (96.16 peratus).

Tempat kedua lelaki disandang wakil Melaka, Muhammad Abdullah Azidin (96.89 peratus) manakala wakil Kelantan, Putri Aminah Mohd Hanif Anuar (95.50 peratus), dan ketiga lelaki oleh wakil Pulau Pinang, Mohamed Azim Mihamed Ibrahim (95.55 peratus) manakala wanita, wakil Terengganu, Radhiah Ab Rahman (94.73 peratus).

Bagi kategori 1-20 juzuk lelaki dimenangi Ahmad Syawqi Hasbullah dari Kedah (98.75 peratus), kedua wakil Kelantan, Afnan Kholili Khairul Anuar (98.61 peratus) dan ketiga, wakil Melaka, Muhamad Insanullah Zahidi (97.93 peratus). Kategori 1-20 juzuk wanita pula dimenangi Mariam Husain dari Kelantan (98.06 peratus), diikuti wakil Terengganu, Nurul Ain Syafiqah Mohamad Din (96.89 peratus) dan ketiga, wakil Pahang (95.66 peratus).

Bagi kategori 1-10 juzuk lelaki dimenangi Ahmad Luqman Ahmad Zaini dari Melaka (98.73 peratus), diikuti wakil Wilayah Persekutuan, Faris Izwan Nordin (98.61 peratus) dan ketiga, wakil Johor, Ahmad Aslam Thaqif Yahya (98.36 peratus).

Kategori 1-10 juzuk wanita pula dimenangi wakil Selangor, Iffah Abd Rahim (98.39 peratus), diikuti wakil Melaka, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam (97.53 peratus) dan wakil Wilayah Persekutuan, Putri Nur Hanim Bakri (97.47 peratus). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.