‘Mat Lajak’ Masih Tak Serik

KULAI: Kumpulan berbasikal ‘Mat Lajak’ nampaknya tidak serik di atas tragedi meragut nyawa sebelum ini kerana masih terus berlumba tetapi kali ini beraksi di beberapa jalan di sini, kira-kira 50 kilometer dari Johor Bahru.

Walaupun Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru masih lagi menjadi tempat pertemuan pilihan mereka, tetapi trend tersebut telah beralih ke daerah Kulai.

Pada 18 Februari lalu, satu kemalangan tragik berlaku di Johor Bahru yang meragut lapan nyawa remaja, manakala lapan lagi cedera parah.

Bagaimanapun insiden itu sedikit pun tidak membuat mereka insaf.

Pada malam Jumaat lalu, sekumpulan remaja lelaki berlumba basikal di jalan di Taman Puteri di sini.

Bilangan mereka sekurang-kurangnya 30 orang, dirakamkan oleh beberapa pengguna jalan raya dekat lampu isyarat selepas salah seorang daripada mereka berdiri di atas basikal yang sedang bergerak.

Remaja lelaki lain berbaris di sebelah dan belakangnya sambil senyum dan ketawa semasa berbasikal di sepanjang jalan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, polis bergegas ke Taman Puteri selepas mendapat maklumat mengenai mereka, antara pukul 2 pagi dan 4.30 pagi Sabtu.

“Mereka melarikan diri sebaik sahaja melihat ketibaan kami,” katanya pada Sabtu.

Razak berkata, pihaknya merampas tujuh basikal yang diubah suai ditinggalkan kumpulan itu.

“Kita sedang menjejaki mereka dan tindakan akan diambil,” tambahnya.

Pada 3 April lalu, The Star menerusi laporan muka depannya melaporkan penahanan 22 remaja, 14 ‘Mat Lajak’ dan lapan penonton termasuk seorang remaja perempuan di Jalan Linkaran Dalam.

Sebanyak 14 basikal dirampas dalam kejadian itu, di kawasan yang sama yang meragut lapan nyawa remaja pada 18 Februari lalu. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.