FGV Perhebat Kempen Tingkatkan Kualiti Buah Tandan Segar

BERA – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan memperhebatkan Kempen Meningkatkan Kualiti Buah Tandan Segar (BTS) di seluruh negara dalam usaha membantu peneroka dan pekebun kecil daripada mengalami kerugian akibat penolakan hasil buah tidak bermutu.

Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, nilai kerugian yang dialami oleh peneroka dan pekebun kecil akibat penghantaran buah yang tidak berkualiti mencecah sehingga RM80 juta setahun.

“Lebih lima peratus daripada buah yang dihantar peneroka ke 72 kilang memproses minyak milik FGV didapati tidak berkualiti, ada yang tidak cukup masak, rosak, busuk serta buah tandan kosong.

Kita terpaksa menolak buah berkenaan mengakibatkan peneroka mengalami kerugian sehingga RM80 juta setiap tahun sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas Program Sihat dan Jalinan Ukhwah FGV di Dewan Orang Ramai Felda Rentam di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Datuk Mohd Fadil Osman.

Mohd Isa berkata keadaan itu berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk sikap peneroka sendiri yang tidak mengamalkan pengurusan ladang dengan baik dan menyerahkan sepenuhnya kerja memetik buah kepada buruh tanpa mengawasinya.

“Mereka ambil mudah tentang perkara ini sehingga buah yang tidak cukup matang juga dituai dan perkara inilah yang mahu kita ubah menerusi Kempen Meningkatkan Kualiti BTS.

“Pihak pengurusan FGV akan turun padang di 72 kawasan yang menempatkan kilang memproses minyak kelapa sawit untuk memberi penerangan kepada pekebun kecil dan peneroka tentang cara pengurusan ladang yang baik.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti buah dan menambah pendapatan peneroka sereta pekebun kecil sendiri,” katanya.

Beliau berkata, setiap tahun kilang-kilang FGV di seluruh negara memproses lebih 14 juta tan BTS. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.