FGV, Keygene Mulakan Makmal Penyelidikan Bersama Bagi Minyak Sawit

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan KeyGene yang berpangkalan di Belanda menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk mewujudkan perkongsian strategik bagi memulakan makmal penyelidikan bersama (Makmal Bersama).

Makmal tersebut akan memperkasakan cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) FGV, FGV R&D Sdn Bhd, untuk menjadi pusat kecemerlangan melalui pengukuhan keupayaan penyelidikannya, yang membolehkan pengenalan benih kelapa sawit yang lebih baik dan mampan dengan lebih cepat ke pasaran.

Kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan KeyGene, syarikat AgBiotech bagi kualiti dan hasil tanaman yang lebih tinggi mempunyai pelbagai matlamat tetapi akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penambahbaikan bahan penanaman melalui pembiakan berbantu penanda, menurut FGV dalam kenyataan semalam (11 April).

Tempoh MoC itu selama lapan bulan dan atas persetujuan bersama oleh kedua-dua pihak yang akan disokong oleh perjanjian tetap untuk lima tahun.

“Perjanjian itu memastikan akses FGV kepada kepakaran dan teknologi KeyGene yang luas dalam genomik tanaman. Langkah ini akan meningkatkan daya saing kami dalam pasaran benih kelapa sawit melalui pengenalan bahan penanaman kelapa sawit yang baharu dan lebih baik.

“Kerjasama itu juga akan memberi manfaat kepada FGV melalui peningkatan keupayaan penyelidikannya dalam bidang penyelidikan genetik molekul yang membawa kepada pembangunan dan pengeluaran bahan penanaman kelapa sawit yang baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad.

Kerjasama itu juga akan membantu FGV mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan bahan penanaman kelapa sawit dengan hasil minyak yang tinggi, dan ciri-ciri istimewa lain.

Pada masa ini, FGV merupakan pengeluar benih yang terbesar di Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak 42 peratus. Ia juga satu-satunya syarikat asing yang dapat menembusi pasaran benih di Indonesia yang amat kompetitif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KeyGene Arjen van Tunen berkata syarikat gembira untuk memulakan langkah strategik ini dengan FGV R&D untuk menubuhkan makmal bersama.

KeyGene akan menyumbang dari segi pengetahuan dan kepakarannya, meraih manfaat daripada pencapaiannya selama 27 tahun dalam menyediakan teknologi yang inovatif.

“Bersama dengan FGV, kami akan menghasilkan benih kelapa sawit yang baik dan mampan yang memenuhi permintaan masyarakat kita pada masa akan datang,” katanya.

Tunen berkata memulakan makmal bersama itu akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama di lokasi masing-masing, menjadikan interaksi pada tahap maksimum, perkongsian pengetahuan dan membina kepakaran.

“Langkah ini akan membawa kepada pemahaman yang lebih baik mengenai keperluan yang akan dipenuhi dari segi pembinaan kapasiti, pelaksanaan teknologi, dan kaedah pengurusan sumber bagi penghasilan sawit.” – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.